MIRI, 16 April: Misteri kehilangan enam unit cermin mata pelbagai jenama pada bulan Mac yang lalu melibatkan kerugian sebanyak RM2,500 terungkai dengan penahanan seorang wanita baru-baru ini.
Suspek, berusia 22 tahun itu ditahan sepasukan anggota polis dari Jabatan Siasatan Jenayah (IPD) Miri pada pagi Khamis (15 April) sekitar jam 11.20 pagi, berhadapan sebuah kedai menjual pakaian di sebuah pusat membeli belah terkemuka di daerah ini.
Difahamkan, semasa berlakunya kejadian pada 19 Mac yang lalu, suspek bekerja sementara dengan sebuah syarikat yang menyediakan perkhidmatan pembersihan pejabat dan bangunan.
Pada hari kejadian, sekitar jam 9 pagi, suspek telah dihantar oleh majikannya untuk melakukan kerja-kerja membersih pejabat di sebuah bangunan di sini.
Usai melakukan proses kerja-kerja pembersihan tersebut, majikan suspek telah menerima panggilan dari pelanggannya mengatakan enam unit cermin mata di dalam pejabat telah hilang.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Miri ACP Hakemal Hawari mengesahkan tangkapan tersebut. ā DayakDaily