Seorang pekerja ladang sawit warga asing cedera, dua lelaki senegara ditahan

Dua suspek disyaki serangan rakan senegara (berdiri barisan depan, tiga dan empat dari kanan) dibawa ke Balai Polis Pusat Miri untuk siasatan.

MIRI, 16 April: Seorang pekerja ladang sawit warga Indonesia cedera dibahagian leher dan dada selepas disyaki diserang dua lelaki senegara menggunakan objek tajam dalam satu pergaduhan pada petang Selasa (13 April) lepas.

Kejadian serangan dilaporkan telah berlaku di dalam sebuah kuarters pekerja ladang sawit di Suai, Niah.

Difahamkan, semasa kejadian, mangsa berusia 42 tahun berkenaan sedang berada di dalam biliknya sebelum dua suspek tiba-tiba muncul lalu menyerangnya.


Susulan kejadian, pihak polis dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) IPD Miri telah menahan dua suspek itu kerana disyaki terlibat dalam serangan tersebut pada Rabu lepas sekitar jam 12.30 pagi di ladang yang sama untuk membantu siasatan.

Kedua-dua suspek, berusia 25 dan 37 tahun itu, ditahan di Balai Polis Pusat Miri.

Sementara itu, menurut Ketua Polis Daerah Miri, ACP Hakemal Hawari, punca serangan masih dalam siasatan.

Difahamkan, mangsa baharu sahaja bekerja di ladang berkenaan selama dua bulan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan/Seksyen 6(1)(c) Akta Immigresen 1959/63. — DayakDaily