Waktu operasi kaunter LHDN dihadkan sepanjang PKP, PKPB dan PKPP


KUCHING, 16 Jan: Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN) memaklumkan bahawa kaunter perkhidmatannya kini akan beroperasi dalam tempoh waktu terhad.

Menerusi satu kenyataan hari ini, LHDN berkata, perkhidmatan waktu operasi kaunter setempat bagi perkhidmatan percukaian pada hari bekerja di setiap negeri adalah mulai jam 8 pagi hingga 1 tengah hari.

“Kaunter bantuan khas kerajaan dan kaunter duti setem di pejabat setem cawangan dan pusat khidmat hasil juga beroperasi dalam tempoh waktu yang sama.


“Penerimaan bayaran sehingga jam 12 tengah hari sahaja,” menurut kenyataan itu.

Manakala bagi perkhidmatan waktu operasi kaunter pusat bayaran LHDN di Kuala Lumpur, Kota Kinabalu dan Kuching, bayaran tunai hanya diterima mulai jam 8 pagi hingga 1 tengahari.

Bagi bayaran selain tunai pula, kaunter dibuka sehingga jam 3 petang.

LHDNM turut berkata bahawa kaunter pendaftaran nama perniagaan (PNP) Cawangan Kuching dibuka mulai jam 8 pagi hingga jam 1 tengahari dengan bayaran diterima sehingga jam 12 tengahari sahaja.

Menurut LHDN lagi, penetapan waktu operasi ini selaras dengan hasrat Kerajaan untuk memastikan penyampaian perkhidmatan yang berterusan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

LHDNM menasihatkan pembayar cukai agar mengurangkan urusan secara bersemuka, sebaliknya pembayar cukai disarankan untuk melakukan urusan percukaian secara dalam talian. — DayakDaily