Velodrom lumba basikal Sarawak dalam perancangan — Abdul Karim

Abdul Karim (barisan depan, empat kanan) merakamkan kenangan bersama tetamu khas dan peserta kategori Elite, Samarahan Bike Challenge 2019.

Oleh Chris Bishop

KOTA SAMARAHAN, Mac 31: Kerajaan negeri sudah ada perancangan rapi untuk membina velodrom lumba basikal di Kompleks Sukan Negeri di Kuching.

Menurut Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah, impian itu mungkin dicapai dalam tempoh dua tahun ini.


“Saya akan bawa cadangan ini kepada Ketua Menteri (Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg) dan beliau pun sudah maklum mengenai pekara ini.

“Sukan lumba basikal merupakan sukan yang diminati rakyat Malaysia dan di peringkat Sarawak kita terlibat di Suksar, Sukma, Sukan SEA, Sukan Asia, Olimpik dan Komanwel,” kata Abdul Karim.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di Majlis Perasmian Samarahan Bike Challenge 2019 hari ini.

Abdul Karim percaya, sukan lumba basikal di Sarawak boleh ditingkatkan dengan terbinanya velodrom tersebut.

Tambah Abdul Karim, tapak untuk velodrom lumba basikal negeri sudah dikenal pasti iaitu di Kompleka Sukan Negeri di Petra Jaya.

Selain daripada itu, Abdul Karim berkata yang kabinet negeri sudah meluluskan pembinaan padang ragbi dan kriket di perkampungan sukan negeri.

“Kabinet negeri juga telah meluluskan pembinaan bangunan sukan wushu yang juga berhampiran dengan Kompleks Sukan Negeri.

“Kita merasakan ini perlu kerana sukan wushu sering menyumbang pingat untuk negeri di setiap kejohanan yang kita sertai,” tegas Abdul Karim.

Terdahulu beliau mengatakan yang kerajaan memberi keutamaan kepada sukan yang mendapat lebih banyak penyertaan atau pun peminat dan sukan tersebut dipertandingkan di peringkat Sukma, Sukan SEA, Sukan Asia mahupun Olimpik.

Kalau tidak, tambah beliau, sebarang program pembangunan untuk sukan yang tidak popular akan ditangguhkan dahulu.

“Tetapi untuk lumba basikal, kita komited untuk membina sebuah velodrom,” tegas Abdul Karim. — DayakDaily