2,908 kotak air botol minuman diagihkan kepada 1,454 penduduk di Dalat

Pengagihan air botol minuman sedang dijalankan.

Oleh Dean Adam

MUKAH, Mac 31: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Bahagian Mukah telah mengagihkan sebanyak 2,908 kotak air botol minuman kepada 1,454 penduduk yang terjejas teruk di kawasan Dalat akibat kemarau, setakat ini.

Pengagihan tersebut meliputi daerah Dalat iaitu Kampung Klid, Narub dan Sua dan kawasan Ulu Baoh, Dalat meliputi Rumah Simu, Rantai, Albert Lassan, Umpang, Ambah, Bihai, Balong, Jawa, Sigah, Tinggi, Balai(Ranggi), Ayum, Bajai dan Nyalong.


Penghantaran bantuan tersebut mengambil masa dua jam setengah ke Ulu Baoh dari Mukah menggunakan kenderaan pacuan empat roda dan lori sementara ke Kampung Klid mengambil masa satu jam menggunakan tongkang.

Masalah air yang teruk telah menjejaskan beberapa kawasan di daerah Dalat.

Kebanyakan kawasan di sekitar Mukah masih belum mempunyai bekalan air paip serta masih bergantung dengan air sungai dan air tadahan hujan yang disimpan di dalam tangki untuk kegunaan seharian.

Cuaca yang panas telah menyebabkan air sungai dan air tadahan hujan telah kering serta menjejaskan aktiviti seharian penduduk.

Penghantaran bantuan air botol minuman itu telah dilakukan oleh Pegawai Pembangunan Masyarakat Daerah Dalat Mohd Omar Qaiyum Yahya dan Pembantu Pembangunan Masyarakat Bahagian Mukah Samsul Sami.

Sementara itu, Tuai Rumah Rantai berkata, musim kemarau yang melanda telah menyebabkan kurangnya air hujan untuk dijadikan air minuman dan penduduk tempatan bersyukur kerana JKM telah segera membantu dengan membekalkan air botol minuman.

“Bantuan air botol minuman ini akan dibahagikan sama rata kepada penduduk rumah panjang dan kami berharap ia dapat meringankan kesusahan yang kami hadapi,” katanya. — DayakDaily