Utamakan MA63 menerusi MoU Persefahaman Transformasi dan Kestabilan Politik — MP Betong

Datuk Robert Lawson Chuat

KUCHING, 14 Sept: MP Betong Datuk Robert Lawson Chuat menggesa supaya Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) menjadi keutamaan untuk diteliti oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Dato Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Pada ucapan menyokong Usul Menjunjung Kasih Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Yang DiPertuan Agong di Parlimen hari ini, beliau berkata Perlembagaan Malaysia perlu diperbetulkan.

“Kerana tidak adil kepada orang Sabah dan Sarawak kalau apa yang dijanjikan pada MA63 tidak direalisasikan sampai sekarang.


“Perjuangan melaksanakan transformasi ini memberikan kita ilham dan rangsangan,” katanya.

Pada semalam, kerajaan dan pihak pembangkang telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik.

Antara perkara yang dipersetujui merangkumi Transformasi Pentadbiran, Pembaharuan Parlimen, Kebebasan Institusi Kehakiman dan Perjanjian Malaysia MA63.

Justeru itu tambah Robert, pelantikan Wan Junaidi memang tepat pada masanya berdasarkan pengalaman beliau yang meluas dalam bidang peguaman dan juga selaku mantan Timbalan Speaker.

Katanya, tinggilah harapan agar beliau akan mencatatkan legasi sebagai menteri yang berjaya melaksanakan usaha transformasi Parlimen Malaysia yang memang dialu-alukan rakyat Malaysia.

Selain MA63, tambah Robert, transformasi sistem kerajaan dan Parlimen juga harus dicapai dalam tempoh 100 hari.

Pada ucapan yang sama, beliau berkata Sarawak memerlukan perhatian dan peruntukan yang lebih khusus bagi mencapai status negeri maju berpendapatan tinggi menjelang tahun 2030.

Ujar beliau, berdasarkan kepada Laporan Sosio Ekonomi Negeri, Sarawak menyumbang 9.6 peratus daripada keseluruhan KDNK negara dan Sabah menyumbang 6.2 peratus.

Bagi pungutan hasil pula jelas Robert, Sarawak dan Sabah berada di kedudukan pertama dan kedua jika dibandingkan dengan negeri-negeri lain di seluruh negara.

“Pada tahun 2017, Sarawak mencatatkan kutipan hasil sebanyak RM6.9 bilion dan Sabah mencatatkan kutipan RM3.9 bilion.

“Namun, masalah infrastruktur asas seperti kemudahan perbankan, kesihatan, jalan raya, bekalan elektrik dan air, capaian Internet dan komunikasi masih agak kritikal dan memerlukan intervensi dari kerajaan persekutuan dengan segera.

“Ini bermaksud wujudnya ketidakseimbangan dari segi pembangunan wilayah.

“Seperti ungkapan ‘kemakmuran bersama’ yang sentiasa disebut, biarlah dinikmati oleh semua rakyat Malaysia, termasuk di Sabah dan Sarawak,” kata Robert. — DayakDaily