Unimas antara 1,001 universiti terbaik di dunia

Unimas telah dinobatkan sebagai antara 1,001 universiti yang terbaik di dunia mengikut Times Higher Education, World University Ranking yang berpangkalan di London.

KOTA SAMARAHAN, Mac 21: Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) ketika ini adalah antara 1,001 universiti terbaik di dunia dan di dalam kelompok 10 universiti terbaik di Malaysia serta adalah universiti yang terbaik di Pulau Borneo.

Naib Canselor Unimas, Prof Datuk Dr Mohamad Kadim Suaidi berkata demikian dengan Unimas dinobatkan sebagai antara 1001 universiti yang terbaik di dunia mengikut Times Higher Education, World University Ranking yang berpangkalan di London.

“Manakala di peringkat kebangsaan, Unimas kini berada dalam kelompok 10 universiti terbaik di Malaysia dan adalah universiti terbaik di Pulau Borneo. Lebih manis lagi, Times Higher Education turut mengumumkan subjek kejuruteraan dan teknologi Unimas berada pada rangking 801 terbaik di dunia,” katanya ketika menghadiri Majlis Anugerah Gemilang Unimas (MAGU) 2019 di Arena Gemilang, DeTAR Putra, Kampus Unimas di sini, hari ini.


Mohamad Kadim Suaidi berkata Times Higher Education World Emerging Economic Ranking pada Januari lepas pula meletakkan Unimas pada kedudukan 351 di dunia dari keseluruhannya 450 universiti di dunia yang layak diukur ranking itu manakala bagi rantau Asia-Pacific, Unimas pada kedudukan 301.

Selain itu dalam QS Asian University Ranking, beliau mendedahkan Unimas kini berada pada kedudukan 236 berbanding 247 pada tahun sebelumnya dan menjadikan universiti terbabit dalam kelompok top 2 peratus daripada 11,900 universiti di Asia.

“Dalam QS Star Rating, Unimas telah berjaya mendapat penarafan lima bintang kepada Unimas dalam pengajaran, kebolehpasaran graduan, kemudahan dan keterangkumannya,”katanya.

Sementara itu mengenai kebolehpasaran graduan Unimas, Kadim mendedahkan pada 2017 universiti terbabit mencatatkan kadar kebolehpasaran graduan sebanyak 81 peratus selepas enam bulan bergraduasi.

“Ini jelas membuktikan komitmen yang telah kita laksanakan selama ini seperti program keusahawanan, CEO Faculty Programme, dan Unimas Talent Recruitment dan Career Exhibition (TRACE), serta kerjasama erat dengan pihak JobStreet.com ternyata memberi impak yang signifikan kepada kebolehpasaran graduan,”katanya.

Unimas juga telah terpilih sebagai Jobstreet.com Preferred University dan ini adalah pengiktirafan dari laman sesawang mencari pekerjaan terbabit kepada majikan di Malaysia bahawa Unimas adalah universiti yang terpilih dan graduannya disyorkan pihaknya.

Katanya pengiktirafan sebagai JobStreet.com Preferred University juga satu jaminan kepada majikan bahawa Unimas menawarkan graduan kualiti terbaik kepada mereka dan graduan Unimas akan dipaparkan dalam pencarian premium seramai 90,000 majikan berdaftar dengan JobSreet.com. — DayakDaily