Unimas cadang menggunakan teknologi loji rawatan air mini untuk sekolah luar bandar

Mohamad Kadim (empat dari kanan) menyaksikan Mohd Gazali (tiga dari kanan) menyampaikan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2018 kepada kakitangan Unimas di Majlis Anugerah Gemilang Unimas (MAGU) 2019 di Arena Gemilang, DeTAR Putra, Kampus Unimas.

KOTA SAMARAHAN, Mac 21: Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) melalui penyelidikannya berjaya menghasilkan teknologi loji rawatan air mini dan bercadang memasang teknologi tersebut di sekolah yang masih belum menerima bekalan air bersih di kawasan luar bandar negeri ini.

Naib Canselor Unimas, Prof Datuk Dr Mohamad Kadim Suaidi berkata demikian dengan penyelidikan teknologi terbabit dibangunkan di kampus Unimas dan perintis pemasangannya di beberapa tempat lain di negeri ini membuktikan yang teknologi terbabit boleh digunakan di kawasan luar bandar.

“Airnya (dari teknologi loji rawatan air mini) boleh diminum dan dirawat dengan tidak mengunakan bahan kimia seperti klorin. Loji juga tidak perlu penjagaan atau penyelengaraan dengan sumber airnya dari sungai berdekatan yang setelah dirawat boleh digunakan terus oleh warga sekolah,” katanya selepas menghadiri Majlis Anugerah Gemilang Unimas (MAGU) 2019 di Arena Gemilang, DeTAR Putra, Kampus Unimas di sini, hari ini.


Keseluruhannya seramai 162 kakitangan Unimas menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2018, 52 kakitangan Unimas menerima Anugerah Perkhidmatan Setia (APS) dan 19 kakitangan lagi menerima sijil penghargan persaraan disampaikan Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan, Dato Dr Mohd Gazali Abas dan Pengerusi Lembaga Pengarah Unimas, Tan Sri Datuk Seri Panglima Sulong Matjeraie.

Mohamad Kadim berkata kos pembinaan loji rawatan air mini terbabit mungkin berbeza-beza bergantung kepada bilangan warga sekolah ataupun jarak loji itu dari sungai tetapi dianggarkan tidak akan mencecah jutaan ringgit dan kemungkinan hanya sekitar RM500,000 bagi satu sekolah.

Berikutan itu, Unimas bercadang mula memasang loji rawatan mini terbabit di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ulu Balingian di Selangau berikutan sebelum ini Unimas sudah menghantar tong kepada warga sekolah tersebut bagi menyimpan air hujan sebagai penyelesaian jangka pendek masalah bekalan air mereka.

“Saya sendiri sudah pergi melawat ke tapak dicadangankan bagi pemasangan loji rawatan air mini di SMK Ulu Balingian dan kita telah mencadangkan penyelesaian terbabit kepada Kementerian Pendidikan supaya dapat diambil tindakan segera,” katanya.

Beliau berkata ketika ini Kementerian Pendidikan masih lagi mempertimbangkan bagi menyediakan sejumlah dana bagi universiti terbabit memasang teknologi berkenaan di SMK Ulu Balingian dan kemudian sekolah lain di luar bandar negeri ini.

“Kita (Unimas) pada masa sama telah juga mengemukakan cadangan ini kepada kerajaan negeri dan dalam pertimbangan kerajaan negeri untuk membantu kita memasang loji rawatan mini di beberapa tempat di negeri ini termasuk di sekolah,” katanya.

Sementara itu, mengenai program Foodbank Malaysia yang diperluaskan kerajaan pusat ke kampus universiti awam bagi menyalurkan bantuan makanan kepada pelajar memerlukan, Mohamad Kadim berkata Unimas memang sudah ada menjalankan program sedemikian.

“Kami (Unimas) memang ada ‘food tray’ atau penyediaan makanan percuma kepada pelajar kami yang memerlukan tetapi tidak semua pelajar terbabit menerimanya kerana bergantung kepada jumlah makanan yang disumbangkan setiap hari oleh pihak penyumbangnya,” katanya.

Beliau sehubungan itu yakin program Foodbank Malaysia akan membolehkan ‘food tray’ di Unimas dapat laksanakan dengan lebih sistematik lagi selepas ini dengan adanya peruntukan dari kerajaan pusat dan program itu adalah amat berguna khususnya ketika musim peperiksaan di kampus. — DayakDaily