Ular tedung masuk dalam kedai berjaya ditangkap

Anggota APM menunjukkan ular tedung yang ditangkap.
Advertisement

SIBU, Mei 22: Seorang peniaga cemas apabila seekor ular tedung masuk ke dalam sebuah kedai runcit di Kampung Jeriah Barat di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 2.20 petang itu, seorang peniaga sedang menyusun barangan dalam kedai sebelum dia terpandang objek berwarna kelabu di atas lantai kedainya.

Katanya, pada mulanya dia ada terdengar bunyi seakan-akan mendengus dari dalam kedai sebelum mendapati objek itu rupa-rupanya ular tedung sepanjang kira-kira 2.1 meter.

Advertisement

“Saya terperanjat dan menjerit sekuat hati kerana benda itu rupa-rupanya seekor ular tedung dan keluar dari kedai kerana berasa tidak sedap hati.

“Bimbang dengan keselamatan diri, saya kemudian menghubungi Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) untuk meminta bantuan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Sementara itu, Pegawai APM Sibu, Kamisah Rais berkata, seramai lima anggota APM bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan pada pukul 2.23 petang selepas pemilik kedai mengesan ular berbisa tersebut.

Katanya, pihaknya mengambil masa kira-kira 15 minit menangkap reptilia berkenaan dengan menggunakan peralatan khas.

“Kami agak bernasib baik kerana ular itu tidak bertindak agresif kerana bukan mudah untuk menangkap reptilia liar berkenaan.

“Ular tedung tersebut dipercayai datang dari kawasan hutan berhampiran sebelum masuk ke dalam kedai di situ,” katanya.

Tambahnya, ular tedung itu kini ditempat di pejabat APM Sibu sebelum diserahkan kepada pihak berkaitan untuk tindakan selanjutnya. — DayakDaily

Advertisement