Pastikan projek mengatasi masalah air di Saratok dilaksanakan — Ali Biju

Ali Biju ... This is precisely the way forward for Sarawak and I fully support the Chief Minister's vision.

KUCHING, Mei 23: Ahli Parlimen Saratok Ali Biju akan memantau perlaksanaan semua projek membaik pulih dan menaik taraf kemudahan bekalan air yang telah dijanjikan oleh Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg kepada konstituensinya.

Ia membabitkan projek bernilai RM6.5 juta untuk mengatasi masalah air di Kabong, Nyabor dan sekitarnya yang diumumkan baru-baru ini termasuk RM87 juta yang dijanjikan semasa Program Sejiwa Senada untuk menyelesaikan masalah air di kawasan Kabong, Sessang dan Saratok dalam tempoh terdekat.

“Saya berharap ini bukan janji-janji manis Barisan Nasional (BN). Bukan apa, sebab masalah air di Kabong sudah berkurun lamanya yang langsung tidak diselesaikan.


“Bak kata Datuk Awie Suboh kepada Menteri Utiliti, Dato Sri Stephen Rundi Utom di Kabong semasa dua hari sebelum hari mengundi, dari nya lahir tahun 1953 sehingga nya pencen hari ini, dekat nak mati tapi tidak juga masalah air ini selesai,” katanya dalam satu kenyataan yang dikongsikan dalam laman Facebook nya.

Sebagai Ahli Parlimen yang baharu dipilih oleh rakyat melalui mandat yang diberikan dalam Pilihan Raya Umum Ke-14, beliau juga berkata akan berhubung dengan pihak yang berkenaan dalam tempoh terdekat untuk meminta penjelasan penuh mengenai masalah air yang tidak diselesaikan di Saratok.

Baru-baru ini telah tersebarnya krisis air yang membelenggu penduduk di Kabong yang menjejaskan lapan kampung, dipercayai berpunca daripada masalah tekanan air rendah dari loji rawatan air utama Lichok, Roban dan diburukkan lagi dengan insiden saluran paip utama pecah di simpang Roban.

Ekoran itu, Abang Johari telah mengadakan lawatan mengejut ke Loji Rawatan Air Kabong pada Isnin lalu, yang kemudiannya mengumumkan peruntukan RM6.5 juta untuk mengatasi masalah tersebut.

Manakala, Ali Biju turut menghantar lebih 100 kotak air mineral ke beberapa surau di kawasan Kabong. — DayakDaily