Uggah: Iktiraf kawasan terlibat ‘Jubilee Application Ticket’ sebagai tanah NCR

Abang Johari (enam dari kiri) menandatangi plaq setelah merasmikan Pejabat Daerah Kecil Spaoh pada lawatan kerja tersebut. Turut kelihatan Uggah (empat dari kanan).

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 10 April: Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas memohon kepada kerajaan untuk mengiktiraf kawasan di Betong yang terlibat dengan kaedah ‘Jubilee Application Ticket’ sebagai tanah hak adat Bumiputera (NCR).

Berucap pada Program Lawatan Kerja “Janji Ditepati” Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg ke  Daerah Kecil Spaoh di Betong hari ini, Uggah berkata tanah tersebut sudah diusahakan dengan tanaman getah sebelum tahun 1958.


Katanya yang juga Adun Bukit Saban, di bahagian kedua dahulu yang kini menjadi sebahagian kawasan Betong dan Saratok, Jubilee Application Ticket diberi kepada penduduk untuk menanam getah.

“Tanpa tiket, getah tidak boleh dijual ketika itu dan ini juga melibatkan tempoh pajakan yang sentiasa berubah iaitu dari 999 tahun kepada 99 dan kemudian 60 tahun.

“Tanah ini sudah diusahakan oleh pemiliknya sebelum tahun 1958, dan disebabkan ketetapan daripada British pada masa itu dimana mesti ada sijil yang membuktikan mereka menanam getah, barulah mereka boleh menjualnya.

“Sekarang ianya menjadi semakin rumit, kerana jika tempoh pajakan tamat maka secara otomatik tanah akan dimiliki oleh kerajaan,” ujar Uggah.

Berhubung isu tersebut, Uggah berkata beliau telah berbincang dengan pengarah Jabatan Tanah dan Survei (JTS) agar dapat mengiktiraf kawasan tersebut sebagai tanah NCR apabila sudah disukat nanti.

Dalam pada itu, beliau juga memohon kerajaan agar segera menyelesaikan masalah bekalan air di kawasan Saribas menerusi stesen Lubau yang turut juga dihadapi oleh penduduk di kawasan pesisir pantai.

“Kontrak telahpun diserahkan kepada kontraktor tetapi ia tidak dilaksanakan. Kawasan di Saribas sehingga ke kawasan pesisir pantai sudah ada paip air.

“Yang kita khuatir paip ada, angin ada tetapi air tiada. Ini yang kita tidak mahu sebab Stesen Lubau sepatutnya membekalkan air ke semua kawasan,” ujar beliau. — DayakDaily