Ucapan Krismas di kek, Ketua Setiausaha Politik bidas pengkritik

Fazzrudin Abdul Rahman

KUCHING, 19 Dis: Kritikan terhadap pendirian Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg yang membidas larangan menulis ucapan Krismas di kek dipertahankan Ketua Setiausaha Politik Premier Fazzrudin Abdul Rahman.

Katanya, Abang Johari menegaskan bahawa isu ini amat remeh dan tidak menyumbang kepada pembangunan negara serta perpaduan antara masyarat berbilang kaum di Malaysia amnya dan di Sarawak khususnya.

“Saya juga mengingatkan bahawa ini bukanlah berkenaan dengan undang-undang atau punca kuasa oleh pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) semata-mata serta meremehkan proses pensijilan halal yang harus dihormati.


“Tetapi wujudnya isu sebegini menunjukkan betapa rapuhnya keharmonian sedia ada dan impak kepada kebanyakan masyarakat majmuk yang merasakan timbulnya isu ini adalah sudah keterlaluan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, sebuah posting di laman Facebook menggunakan nama Ab Jalil Backer mempersoalkan pemikiran dan tingkah laku Abang Johari berhubung isu tersebut.

Fazzrudin yang juga Adun Tupong menambah, Kerajaan Persekutuan dan agensi-agensi kerajaan harus sentiasa menggubal dasar dan membuat keputusan yang memberi kesan kepada semua rakyat Malaysia.

Ujar beliau, sebarang keputusan yang mendatangkan kontroversi boleh menganggu gugat keharmonian dalam masyarakat dan serta mengundang kritikan kepada Kerajaan Persekutuan.

“Ini bukanlah isu kenegerian atau wilayah yang bersifat politik tetapi telah menjadi isu tunjang perpaduan dan keharmonian dalam negara.

“Kita tidak inginkan perpecahan yang memberi impak negatif kepada pembangunan ekonomi dan sosial negara yang berpunca dari pendekatan yang tidak cermat.

“Sehinggakan memberi ruang bagi isu seperti ucapan Krismas di kek baru-baru ini boleh timbul,” kata Fazzrudin. ā€” DayakDaily