Tujuh individu termasuk seorang wanita ditahan polis bantu siasat kes bunuh

Salah seorang suspek ditahan JSJ Miri untuk siasatan lanjut.

MIRI, 28 Feb: Polis di sini telah menahan tujuh individu, termasuk seorang wanita bagi membantu siasatan kes bunuh, susulan penemuan mayat seorang lelaki dengan kesan tembakan pada muka berhampiran sebuah pondok kayu di ladang Paroh Suai Niah pada Ahad.

Tangkapan disahkan Ketua Polis Daerah Miri ACP Hakemal Hawari pada Isnin.

Menurutnya, penahanan kesemua suspek warga tempatan itu dibuat bagi membantu siasatan kes terbabit.


Susulan daripada tangkapan tersebut, pihak Polis turut menjumpai senjata api serta kelonsong peluru yang dipercayai digunakan dalam insiden tersebut.

Kes ini diklasifikasi dan disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

“Pada pagi Ahad, sekitar jam 10.45, sebaik sahaja dimaklumkan mengenai penemuan satu mayat berhampiran pondok di dalam ladang Paroh Suai, Niah, sepasukan Polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Miri (BSJD Miri) telah bergegas ke tempat kejadian dan hasil pemeriksaan di kawasan tersebut telah menemukan mayat seorang lelaki warganegara Malaysia yang dipercayai meninggal dunia akibat dari kesan tembakan pada bahagian muka,” ujar Hakemal.

Pihak Polis turut ingin menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi berkenaan kes ini kerana ianya akan mengganggu siasatan.

Individu yang mempunyai sebarang maklumat lanjut berkaitan insiden ini diminta untuk tampil ke Balai Polis yang berdekatan untuk membantu siasatan atau menghubungi ASP Joyce Sagai di talian 085-433730 untuk menyalurkan maklumat berkaitan. ― DayakDaily