Tugu Peringatan Kampung Jangkar kenang pertempuran berdarah Batalion Ke-7 Rejimen Renjer

Abdul Karim (empat dari kanan) di Perasmian Tugu Peringatan Kampung Jangkar.

Oleh Chris Bishop

LUNDU, 3 Mei: Pertempuran berdarah yang mengorbankan 15 anggota tentera Malaysia menentang komunis di Kampung Jangkar di Lundu 51 tahun lalu kini dikenang dengan terbinanya Tugu Peringatan Kampung Jangkar.

Tugu tersebut telah dirasmikan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah hari ini.

Mengimbau sejarah tersebut, Batalion Ke-7 Rejimen Renjer yang berpangkalan di Sungai Petani, Kedah telah diatur gerakan ke Lundu pada akhir tahun 1971 untuk membanteras ancaman Pengganas Komunis (PGK) dari Pasukan Gerila Rakyat Sarawak (PGRS).

Pada 26 Mac 1972, semasa pasukan sedang menjalankan operasi menentang insurgensi di Padawan, Markas 7 Renjer di Lundu telah diarahkan untuk memberi perlindungan kepada Tim Penyelenggaraan ke Pos Gabungan Sempadan Biawak.

Satu konvoi yang terdiri daripada sebuah kenderaan jenis Land Rover dan dua buah trak 3-tan membawa 20 anggota yang diketuai oleh Sarjan Basha Sulaiman telah ditugaskan untuk memberi perlindungan kepada tim tersebut.

Semasa di dalam perjalanan balik dari Biawak lebih kurang jam 3.30 petang, konvoi telah di serang hendap oleh sekumpulan PGK yang berkekuatan 60 ke 80 orang.

Abdul Karim (barisan belakang, empat dari kiri) merakamkan kenangan bersama anggota veteran 7 Renjer di Tugu Peringatan Kampung Jangkar.

Kenderaan Land Rover yang mendahului konvoi terlepas dari serang hendap tersebut dan terus memecut ke Kem Titiakar untuk mendapatkan bantuan manakala dua buah trak 3-tan terperangkap di kawasan membunuh.

Sungguhpun kekuatan PGK melebihi anggota tentera dan dihujani dengan tembakan musuh dari kedudukan tinggi, mereka telah bertahan dan berbalas tembakan sehingga bantuan tiba dari Kem Titiakar.

Tindakan pantas dan berani dari Skn B 3 Peninjau yang dilengkapi kereta perisai Ferret Scout Car melepaskan tembakan ke arah kedudukan PGK memaksa mereka berundur.

Seramai 15 anggota 7 Renjer terbunuh dan empat lagi cedera dalam serang hendap ini.

Seterusnya Operasi BELLA telah dilancarkan dan 7 Renjer telah berjaya menghapuskan seramai 15 anggota PGK (11 dibunuh, 2 ditawan dan 2 menyerah diri) sebelum pasukan balik ke Sungai Petani pada bulan Disember 1972. — DayakDaily