Tuduhan kerajaan rampas tanah adalah usaha memecah-belahkan rakyat, kata Uggah

Uggah (tiga kanan) di Majlis Makan Malam Forum Kanun Tanah (Pindaan) 2018 di Kuching.

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 20 Nov: Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas menyifatkan golongan yang menuduh kerajaan merampas tanah rakyat bagi tanah yang disukat di bawah Seksyen 6 sebagai penghasut.

Katanya, golongan tersebut sebenarnya berhasrat untuk memecah belahkan rakyat di negeri ini.


“Sehingga sekarang saya masih nampak di media sosial, mereka menuduh kerajaan merampas tanah rakyat. Mereka sebenarnya cemburu kerana kerajaan pimpinan ketua menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berusaha untuk menyelesaikan masalah rakyat.

“Tetapi golongan ini berusaha untuk menghasut dengan tujuan untuk memecah-belahkan rakyat,” dakwa beliau pada ucapannya di Majlis Makan Malam bersempena Forum Kanun Tanah (Pindaan), 2018, Zon Selatan, di sini, malam ini.

Tambah beliau, tuduhan yang sama juga dilemparkan seorang ADUN dari Pakatan Harapan (PH) pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang lepas.

Namun apabila diminta untuk menunjukan bukti yang kerajaan pernah merampas tanah rakyat, ADUN tersebut gagal berbuat demikian, ujarnya.

“Dia tiada bukti kerana tuduhannya tidak betul. Hanya mampu menuduh kerajaan merampas tanah untuk tanah yang di sukat di bawah Seksyen 6,” dakwa beliau.

Uggah, yang juga Menteri Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah, berkata kerajaan negeri telah memberi jaminan bahawa tanah yang disukat dan digazet di bawah Seksyen 6 Kanun Tanah Sarawak diakui sebagai Tanah Adat Bumiputera (NCR).

Dengan jaminan itu, ujar Uggah, kerajaan akan membayar pampasan untuk tanah yang diambil kerajaan bagi tujuan pembangunan seperti pembinaan sekolah dan klinik.

Tambah beliau, setakat ini kerajaan telah membayar pampasan berjumlah RM37 juta kepada pemilik tanah.

Mengulas isu yang sama, Uggah berkata kerajaan menerusi Belanjawan Negeri 2020 telah memperuntukan RM40 juta untuk kerja-kerja penyukatan NCR.

Katanya, tumpuan sekarang adalah kepada kerja-kerja penyukatan tanah di bawah Seksyen 18, setelah banyak tanah di sukat di bawah Seksyen 6.

“Kerajaan komited mengeluarkan surat hak milik individu di bawah Seksyen 18 kepada pemilik-pemilik tanah secara ‘in perpetuity’,” ujar beliau.

Forum Kanun Tanah (Pindaan) 2018, Zon Selatan, yang berlangsung esok melibatkan penyertaan ketua masyarakat, ketua kaum dan pegawai-pegawai kerajaan dari Bahagian Kuching, Samarahan, Serian, Sri Aman dan Betong. — DayakDaily