Tragedi perahu karam: Seorang ditemui mati lemas, dua mangsa masih hilang

Pasukan SAR melakukan operasi mengesan dua lagi mangsa yang masih hilang.

JULAU, Mei 25: Perjalanan pulang dua wanita dan seorang kanak-kanak lelaki ke rumah panjang menaiki sebuah perahu berakhir dengan tragedi apabila seorang daripada mereka ditemui mati lemas, manakala dua lagi masih hilang di Sungai Kanowit, Nanga Ensurin di sini hari ini.

Mayat mangsa, Lenny Ingang, 46, ditemui dalam keadaan terapung di pada pukul 12.30 tengah hari.

Penolong Pengarah Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak, Tiong Ling Hii berkata, dua lagi mangsa dikenali sebagai Ebiline Linty Kaya, 23, dan Kelvin Sama Markus, 6.


Katanya, pihak bomba menerima laporan berhubung kejadian itu dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Julau pada pukul 9.33 pagi.

“Sejurus menerima laporan itu, sepasukan anggota bomba kemudian diarahkan ke lokasi untuk melakukan operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa.

“Komander operasi melaporkan pencarian SAR hari pertama dimulakan di sepanjang Sungai Kanowit, Nanga Ensurin menggunakan kaedah mencari di permukaan sungai di mana perahu dinaiki mangsa karam sehingga ke hilir Sungai Nanga Entabai,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Tiong menambah, setakat ini seorang mangsa telah ditemui di tebing sungai berdekatan Rumah Panjang Gani, Wong Bar, Julau

“Operasi SAR dua lagi mangsa bditangguhkan pada pukul 6 petang dan akan disambung semula awal pagi esok,” katanya. — DayakDaily