Penduduk Kpg Moyan Laut serta kampung sekitar berdepan gangguan bekalan air

Anggota JBALB mengagihkan bantuan bekalan air.

KOTA SAMARAHAN, Mei 25: Penduduk kampung yang menetap di Kampung Moyan Laut serta beberapa kampung sekitar semakin resah berikutan terpaksa berdepan masalah gangguan bekalan air.

Difahamkan, masalah ketiadaan bekalan air itu mula berlaku sejak beberapa hari lalu sehingga menyulitkan aktiviti seharian penduduk kampung.

Seorang penduduk mendakwa mereka mengalami kesukaran untuk melakukan kerja-kerja jatuh harian berikutan masalah ketiadaan bekalan air.


Katanya, lebih perit, paip langsung tidak mengeluarkan setitik air hingga menyebabkan mereka susah untuk membuat persiapan untuk juadah berbuka puasa.

“Majoriti penduduk di sini sukar menguruskan aktiviti seharian berikutan masalah bekalan air ini.

“Buat masa ini, kami bergantung sepenuhnya dengan air tadahan hujan selain bekalan air yang disalurkan oleh Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) Bahagian Samarahan,” katanya di sini hari ini.

Sementara itu, JBALB Bahagian Samarahan memberitahu, bantuan penghantaran air itu adalah bantuan secara sementara sahaja.

Kata JBALB, pihak berwajib harus mengambil tindakan segera dengan mencari punca gangguan bekalan air.

“JBALB telah menghantar lori bantuan air ke kawasan yang mengalami gangguan berkenaan dari semasa ke semasa.

“Sehubungan itu, para penduduk diminta menyediakan bekas takungan air bagi memudahkan kerja pengagihan bekalan air,” kata JBALB. — DayakDaily