Tr Sili Bunsi: Ini adalah keputusan saya, bukan Nancy

Nancy (duduk tiga kanan) dan Tr Sili (duduk dua kanan) menunjukkan cetakan kenyataan Joseph di Facebook sambil disaksikan Setiausaha Agung GPS Datuk Alexander Nanta Linggi (duduk tiga kiri) dan yang lain.

KUCHING, Mei 15: Tuai Rumah (Tr) Kampung Sungai Buluh, Sili Bunsi menafikan tuduhan bekas wartawan Joseph Tawie bahawa pembatalan sambutan Gawai Dayak yang dicadangkan bersama Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo di rumah panjangnya adalah disebabkan tekanan daripada wakil rakyat yang dipilih dari Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Sili pada satu sidang media pada hari Isnin lepas (Mei 13) bersama Ahli Parlimen Batang Sadong, Dato Sri Nancy Shukri berkata, keputusan tersebut dibuat oleh beliau sendiri susulan persetujuan daripada penduduk kampung ketika satu mesyuarat.

“Ini bukan disebabkan tekanan daripada wakil rakyat Sadong Jaya tetapi keputusan saya sendiri kerana penduduk tidak bersetuju sambutan Gawai Dayak dengan kehadiran menteri dari Semenanjung Malaysia,” kata Sili.


Jelas Sili, semua ini bermula apabila lima delegasi diketuai Pegawai Tugas-Tugas Khas Kementerian tersebut, Dusit Jaul datang berjumpanya baru-baru ini untuk mengemukakan cadangan ini.

Menurut Sili, jika Gawai Dayak biasa ia tidak menjadi masalah, tetapi apabila diberitahu siapa yang hadir sebagai tetamu kehormat, Sili berkata beliau perlu berbincang dengan penduduk dahulu.

“Kami tidak menentang mana-mana rakyat Semenanjung dari datang ke sini. Kami cuma menentang idea bahawa tiada mana-mana pemimpin kita Sarawak dan wakil rakyat kami yang dijemput ke perayaan ini,” kata Sili.

Tr Sili bercakap kepada pemberita. Di sebelah beliau adalah Nancy.

Dalam pada itu Joseph pada akaun Facebook miliknya dalam satu ‘post’ bertarikh Mei 10 memaparkan kenyataan menuduh Nancy memberi tekanan kepada Sili untuk tidak bersetuju dengan cadangan perayaan tersebut disebabkan perbezaan politik.

Joseph turut menuduh bahawa GPS mempolitikkan isu ini, mempersoalkan kuasa Nancy sebagai bukan Dayak memberitahu pemimpin Dayak berbuat demikian.

Sementara itu Nancy turut menafikan sekerasnya mempengaruhi keputusan Sili.

“Dengan membuat kenyataan sedemikian, Joseph cuba memfitnah saya dan boleh menimbulkan ketegangan antara komuniti tempatan terutama mereka di Batang Sadong.

“Saya mahu menegaskan bahawa saya tidak pernah mengeluarkan arahan seperti yang dituduh oleh Joseph. Sebaliknya saya telah berbincang dengan Tuai Rumah Sungai Buluh berhubung jemputan perayaan Gawai Dayak kepada Gobind.

“Tuai Rumah menyuarakan kebimbangan kepada saya dan mendapatkan pandangan saya mengenai perkara ini.

“Saya berkongsi pandangan saya dengan beliau bahawa jika beliau tidak selesa menganjurkan perayaan Gawai Dayak dengan menteri, beliau boleh teruskan dengan cara sambutan Tahunan Gawai Dayak yang kebiasaannya” ujarnya.

Ditanya sama ada beliau akan mengambil tindakan undang-undang ke atas Joseph, Nancy berkata: “Saya belum sampai ke situ lagi. Apa yang penting sekarang ialah untuk mendapatkan fakta yang tepat dan memberitahu rakyat,” ujarnya. — DayakDaily