Pihak berkuasa maritim digesa mengambil tindakan atas pencerobohan oleh nelayan asing di Sibuti

Gambar bot nelayan Vietnam di kawasan kawasan pembuangan tukun tiruan tidak jauh dari Kampung Kuala Sibuti yang dikirimkan kepada Lukanisman.

KUCHING, Mei 14: Ahli Parlimen Sibuti Lukanisman Awang Sauni meminta kerajaan melalui pihak berkuasa maritim Malaysia bertindak terhadap pencerobohan nelayan Vietnam ke perairan Sarawak berhampiran kawasan pembuangan tukun tiruan tidak jauh dari Kampung Kuala Sibuti.

“Saya memohon agar pihak kerajaan melalui agensi Maritim dapat memberi perhatian yang serius. Pencerobohan bot nelayan vietnam ini bukan sahaja berlaku semalam tetapi kerap berlaku dan menimbulkan rasa kurang senang para nelayan kepada pihak penguatkuasa,” kata beliau dalam satu kenyataan media di laman Facebooknya hari ini.

Lukanisman berkata kawasan pembuangan tukun tiruan terbabit terletak 15 hingga 16 batu nautika dari Kampung Kuala Sibuti adalah kawasan tukun tiruan hasil tanggungjawab sosial koperat (CSR) pihak Petronas dan kerajaan Sarawak.

“Isu pencerobohan nelayan asing ini semakin kerap berlaku dan saya turut menerima aduan daripada kalangan nelayan yang merasakan pencerobohan bot nelayan asing dari Vietnam ini mengganggu aktiviti kegiatan penangkapan ikan di perairan Sarawak,” katanya.

Beliau berkata walaupun dinyatakan pihak agensi maritim negara ini kekurangan aset tetapi pencerobohan ini tidak dapat dibiarkan berterusan kerana ini melibatkan pencerobohan sempadan negara dan mencuri hasil laut dari negara ini.

“Saya berharap agar terdapat kerjasama antara maritim dan pihak angkatan tentera laut Malaysia dari segi gunasama aset untuk perairan di Sarawak. Selain itu saya menyeru agar perkara ini dibawa ke kabinet dan dibincangkan,” katanya.

Beliau turut menggesa agar Menteri Luar Negara turut mengambil inisiatif untuk menyuarakan rasa kurang senang kepada bot-bot asing dari Vietnam kepada pihak kerajaan atau kedutaan Vietnam. — DayakDaily