Tindakan pantas selamatkan van daripada terbakar di Semariang

Keadaan di dalam van yang terbakar.

KUCHING, 10 Julai: Seorang lelaki bertindak pantas memadamkan kebakaran di dalam van miliknya yang tiba-tiba terbakar di bahagian enjin di Kampung Semariang hari ini.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba) Sarawak berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian pada jam 9.31 pagi.

Katanya, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Petra Jaya telah dikerahkan ke lokasi kejadian.


“Pasukan bomba tiba di lokasi kejadian dan didapati benar kebakaran melibatkan sebuah van jenis Nissan Vannette yang terbakar dibahagian pendawaian (enjin).

“Bagaimanapun, pemilik van berjaya memadam kebakaran menggunakan semburan air sebelum ketibaan pasukan bomba,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Pasukan bomba kemudian bertolak balik ke balai selepas mengesahkan keadaan selamat. — DayakDaily