Enam cedera dalam kemalangan di Betong

Keadaan kedua-dua buah kereta yang terlibat dalam kemalangan.

BETONG, 10 Julai: Enam mangsa cedera dalam kemalangan membabitkan dua buah kereta di Jambatan Haka, Jalan Lidong, di sini hari ini.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba) Sarawak berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian pada jam 4.47 petang.

Katanya, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Betong dikerahkan ke lokasi kejadian.


“Setibanya pasukan bomba di lokasi, didapati kemalangan melibatkan dua buah kereta dan terdapat enam mangsa mengalami cedera ringan.

“Kesemua mangsa telah mendapatkan rawatan awal dari pihak hospital dan anggota EMRS Bomba,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Tiada mangsa dilaporkan tersepit dalam kemalangan tersebut.

“Semua mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Betong mengunakan ambulan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan EMRS,” katanya.

Pasukan bomba kemudian membuat pembersihan sisa-sisa kemalangan di lokasi.

“Setelah keadaan selamat, pasukan bomba kemudian bertolak balik ke balai,” katanya. — DayakDaily