Kereta terbakar di Jalan Sarikei-Bintangor, pemandu dan penumpang selamat

Anggota bomba berusaha memadam kebakaran.

SARIKEI, 25 Julai: Sebuah kereta jenis Proton Waja dikatakan tiba-tiba terbakar di Jalan Sarikei-Bintangor, di sini hari ini.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba) Sarawak berkata kejadian dilaporkan berlaku pada jam 3.48 petang.

Katanya, semasa kejadian kereta tersebut yang dinaiki empat individu dalam perjalanan dari Sibu ke Saratok.


“Menurut saksi, iaitu pemandu kenderaan lain yang sama laluan mengatakan kebakaran telah bermula dari bawah bahagian belakang kereta berkenaan.

“Kesemua empat orang pemandu dan penumpang Proton Waja tersebut berjaya keluar menyelamatkan diri sebelum api marak,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beberapa anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Sarikei dikerahkan ke lokasi kejadian.

“Bomba mengunakan satu salur bantu mula air daripada jentera untuk memadamkan api tersebut.

“Setelah memastikan keadaan di lokasi selamat dan terkawal, anggota kemudian bertolak balik ke balai,” katanya.

Operasi tamat pada jam 4.20 petang. — DayakDaily