Tiga lelaki Indonesia dicekup selepas disyaki edar dadah, bakal dijatuhkan hukuman mati jika disabit kesalahan

Antara dadah yang dirampas oleh polis.

Oleh Dean Adam

BINTULU, April 22: Tiga lelaki warga Indonesia diberkas selepas disyaki terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah menerusi satu serbuan di sebuah rumah tidak berombor di Jalan Abang Galau di sini malam semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Sarawak, Supt Sahar Abd Latif berkata, ketiga-tiga suspek berusia antara 21 hingga 34 tahun itu diberkas pada pukul 9 malam.


Menurutnya, hasil pemeriksaan menemui satu paket plastik lutsinar berisi ketulan kristal disyaki dadah syabu seberat 50.47 gram.

“Pemeriksaan badan terhadap tiga suspek turut menjumpai satu kotak rokok jenama ERA di dalamnya mengandungi 12 paket plastik lutsinar yang berisi ketulan-ketulan kristal disyaki dadah syabu dengan anggaran berat kasar 69.69 gram.

“Seterusnya, hasil pemeriksaan lanjut ke rumah tersebut telah menjumpai satu beg plastik timah kekuningan bertulis ‘GUANYINWANG’ di dalamnya terdapat 14 paket plastik lutsinar berisi ketulan kristal disyaki dadah jenis syabu seberat 400 gram,” katanya di sini hari ini.

Sahar menambah, pasukan serbuan turut menemui satu kotak bertutup bertulis ‘EDIFICE CASIO’ di dalamnya mengandungi 35 keratan tiub straw yang berisi ketulan-ketulan kristal disyaki dadah jenis syabu seberat 11.79gram.

Katanya, siasatan lanjut mendapati ketiga-tiga suspek terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah bermula akhir tahun 2018.

“Nilai rampasan keseluruhan dadah daripada ketiga-tiga suspek yang seberat 531.95 gram itu adalah sebanyak RM79,792.50.

“Ketiga-tiga suspek yang positif dadah jenis amphetamine/methamphetamine itu kini ditahan reman selama 14 hari di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

“Kes itu disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan jika disabitkan kesalahan boleh dijatuhkan hukuman mati,” jelasnya sambil menambah ketiga-tiga suspek juga disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) ADB 1952. — DayakDaily