Wanita warga emas rugi RM2,850 ditipu sindiket bantuan kebajikan tidak wujud

Supt Mustafa Kamal Gani Abdullah

Oleh Dean Adam

KUCHING, April 22: Sebanyak empat kes penipuan bantuan kebajikan melibatkan kerugian sebanyak RM17,880 dilaporkan bagi tempoh Januari 1 hingga April 21 tahun ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Sarawak, Supt Mustafa Kamal Gani Abdullah berkata, kes terbaharu dilaporkan semalam melibatkan seorang wanita warga emas berusia 63 tahun yang kerugian sebanyak RM2,850.

Jelasnya, kes berkenaan berlaku semasa mangsa yang berada berhampiran sebuah farmasi di Jalan Sabu Lama telah didatangi oleh seorang wanita yang tidak dikenali.

“Wanita itu kemudian mengatakan hendak membantu mangsa mendapatan wang bantuan kerajaan sebanyak RM1,200 dan mengatakan mangsa akan menerima RM350 setiap bulan selepas ini.

“Kemudian mangsa telah dibawa menaiki sebuah kereta dipercayai jenis Proton Saga berwarna putih dan turut berada di dalam kenderaan tersebut ialah dua lelaki yang tidak dikenali,” katanya di sini hari ini.

Mustafa Kamal memberitahu, suspek seterusnya mengatakan akan membawa mangsa untuk mengisi borang bantuan dan mengambil gambar untuk tujuan berkenaan.

Bagaimanapun katanya, apabila tiba di Jalan Paip di sini, mangsa telah diarahkan untuk turun dari kereta tersebut dengan beg tangan mesti ditinggalkan di dalam kereta.

“Mangsa yang enggan menuruti arahan itu kemudian mendapati suspek menarik beg tangan mangsa dan menolak mangsa ke tepi jalan.

“Ketiga-tiga suspek kemudian memecutkan kenderaan dan melarikan beg tangan mangsa yang mengandungi wang tunai sebanyak RM350, barangan kemas, Buku Amanah Saham Bumiputera dan buku akaun Bank Simpanan Nasional,” katanya. — DayakDaily