Tiga lelaki dipercayai `Ah Long` termasuk dalang utama kes ugutan di Desa Pujut diberkas

Kesemua tiga suspek (lima, enam dan tujuh dari kiri) ditahan polis untuk siasatan lanjut.

Oleh Brad Rantayy

MIRI, 4 Julai: Tiga lelaki ahli pinjaman wang tanpa lesen atau`Ah Long’, termasuk `dalang`kejadian mengugut peminjam di Desa Pujut pada malam Khamis diberkas polis untuk siasatan lanjut.

Menurut Ketua Polis Daearah Miri ACP Hakemal Hawari, kesemua suspek berusia 25 sehingga 32 tahun itu ditahan dalam serbuan pada petang semalam (3 Julai) di Pujut 6, Lorong Jerami sekitar jam 3.30 petang.


Turut ditemui semasa serbuan ialah sebaldi cat berwarna merah dan sebuah kereta jenis Proton Wira.

Hasil siastan awal mendapati, salah seorang daripada tiga lelaki yang ditahan itu merupakan dalang utama kejadian ugutan di sebuah rumah di Desa Pujut pada malam Khamis.

Terdahulu, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah (JSJ) IPD Miri telah menahan seorang suspek berusia 25 tahun dipercayai konco sindiket pinjaman wang tanpa lesen pada pagi Jumaat.

Tangkapan tersebut dibuat kurang 24 jam selepas kejadian dua lelaki datang ke sebuah rumah di Desa Pujut dan dipercayai melontar sebuah objek plastik serta menampal kertas di pagar rumah mangsa.

Bimbang akan keselamatan diri dan keluarganya, mangsa berusia 33 tahun telah tampil membuat laporan polis.

Difahamkan, sindiket pinjaman tanpa lesen tersebut beroperasi dengan mengiklankan perkhidmatan mereka di dalam Facebook dan menawarkan pinjaman sebanyak RM500 serta kadar faedah yang sangat tinggi. — DayakDaily