Oleh Brad Rantayy
MIRI, 12 Julai: Perbuatan tiga sahabat merompak dan melarikan sebuah kereta milik seorang surirumah di Jalan Merak Taman Yakin pada awal pagi tadi membawa padah apabila mereka ditahan polis kurang empat jam selepas kejadian.
Menurut Ketua Polis Daerah Miri ACP Hakemal Hawari, dalam kejadian yang berlaku sekitar jam 7.30 pagi itu, seorang surirumah berusia 65 tahun baru sahaja sampai di hadapan rumahnya, apabila tiba-tiba dihampiri seorang lelaki memegang sebilah parang.
“Suspek telah mengacukan parang ke arah mangsa dan menyuruhnya keluar dari kereta,” ujar Hawari.
Suspek kemudiannya telah masuk ke dalam kereta mangsa jenis Proton Persona dan bertindak melarikan kenderaan tersebut.
Namun, semasa hendak mengundurkan kenderaan tersebut secara terburu-buru, suspek telah terlanggar mangsa yang pada masa itu berada di bahagian kenderaan, menyebabkan mangsa mengalami kecederaan pada lututnya.
“Mangsa ada cuba menjerit meminta tolong namun tiada yang mendengar,” katanya.
Hasil risikan pihak polis, berjaya mengesan suspek empat jam kemudian.
Siasatan awal mendapati suspek telah cuba menjual rim tayar kenderaan tersebut di sebuah bengkel di Piasau di sini.
Namun, pemilik bengkel menjadi curiga dan segera memaklumkan pihak polis.
Semasa tangkapan, polis turut berhasil menemukan kenderaan mangsa.
Kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan. — DayakDaily