Lelaki miliki 9 rekod jenayah ditangkap, disyaki terlibat samun pasangan Indonesia di Jln Arang

Suspek ditangkap untuk siasatan lanjut.

KUCHING, 5 Jan: Seorang lelaki ditangkap kurang dari 24 jam selepas dipercayai merompak sepasang suami isteri warga asing di rumah pekerja di sebuah tapak pembinaan di Jalan Arang pada 3 Januari lepas.

Ketua Polis Daerah Padawan Supt Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata suspek berusia 32 tahun itu ditangkap di sebuah kedai makan di Jalan Batu Kawa pada jam 11.10 malam.

Katanya, suspek bersama seorang lagi rakannya melakukan samun tersebut pada jam 2.30 pagi.


“Suspek bersama seorang lagi lelaki telah memasuki bilik pasangan (mangsa) terbabit dan memberitahu mereka dari Jambatan Imigresen dan terus meminta permit mangsa.

“Seterusnya dia memaksa pasangan terbabit untuk mengeluarkan barang dan permit sebelum kedua-dua mereka melarikan diri bersama dua unit telefon bimbit mangsa yang dianggarkan bernilai RM1,600,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Suspek yang mempunyai sembilan rekod jenayah lampau itu kini ditahan di lokap polis untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 375/397 Kanun Keseksaan.

“Usaha menjejaki seorang lagi suspek sedang giat dijalankan,” katanya. — DayakDaily