Tiga ditangkap seludup balak haram menggunakan perahu di Sungai Rajang

Pemeriksaan dilakukan ke atas kayu balak tersebut.

SIBU, 30 Ogos: Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 5 Sibu berjaya mematahkan cubaan menyeludup kayu balak melalui Sungai Rajang, di sini pada Sabtu lalu (28 Ogos).

Komandernya ACP Zulfikar Mohd Ghazali berkata anggota sedang melakukan penugasan Op Benteng apabila melihat longgokan kayu balak di sungai tersebut pada jam 12.30 lewat malam.

Katanya, pasukan operasi kemudian membuat pemeriksaan dan mendapati kayu balak tersebut sedang ditunda oleh tiga buah perahu.

“Pasukan operasi kemudian terus melakukan pemeriksaan dan mendapati terdapat 100 batang kayu balak tersebut tiada tanda tukul dari Jabatan Hutan Sarawak.

“Kesemua kayu balak tersebut disyaki diperolehi secara tidak sah,” katanya dalam satu kenyataan.

Ekoran itu, pasukan operasi kemudian menahan tiga lelaki yang mengemudi perahu tersebut siasatan lanjut.

Kesemua mereka berusia lingkungan 28 hingga 58 tahun.

Barang rampasan dan tangkapan kemudian diserahkan kepada Jabatan Hutan Sibu untuk siasatan lanjut di bawah Ordinan Perhutanan Sarawak 2015. — DayakDaily