Kapal sedut pasir bernilai lebih RM2 juta tumpas di Sibu

Kapal yang ditahan dalam operasi tersebut.

SIBU, 11 Jun: Pasukan Polis Marin Wilayah Lima (PPMW5) Sibu berjaya menumpaskan aktiviti penyedutan pasir secara tidak sah ditangkap dianggarkan bernilai RM2,620,000 di perairan Paradom, Sibu.

Komander PPMW5 Sarawak, ACP Zulfikar Mohd Ghazali melalui kenyataan di akaun facebook PPM Sarawak berkata kegiatan tersebut berjaya dibongkarkan oleh Unit Risikan Marin (URM) PPMW5 Sibu.

Katanya, anggotanya ketika itu membuat rondaan dan telah menahan dan memeriksa sebuah kapal yang sedang menjalankan aktiviti penyedutan pasir.


“Hasil pemeriksaan mendapati juragan kapal tersebut gagal menunjukkan atau mengemukakan lesen penyedutan pasir untuk menjalankan aktiviti secara sah.

“Selain itu pemeriksaan terhadap lesen kapal berkenaan juga telah tamat tempoh,” katanya.

Kapal dan ke semua peralatan, pasir serta enam kru kapal yang juga lelaki tempatan berusia lingkungan 25 dan 56 tahun turut ditahan.

“Kesemua suspek berserta barangan dibawa balik ke Markas Taktikal Pasukan Polis Marin Sibu kerana telah melakukan kesalahan dibawah Akta Kanun Tanah Negeri Sarawak,” katanya.

Kes akan diserah serta dirujuk kepada Pegawai Penyiasat Jabatan Tanah dan survei Bahagian Sibu untuk tindakan selanjutnya. — DayakDaily