Kereta terjunam di Sungai Rajang berjaya ditemui, mangsa meninggal dunia

Kereta mangsa berjaya ditemui dan dinaikkan ke darat.

SIBU, 27 Mei: Seorang lelaki dilaporkan meninggal dunia selepas kereta dipandunya terjunam jatuh ke dalam Sungai Rajang, di sini.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba) Sarawak berkata anggota Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) melakukan sembilan siri selaman sehingga berjaya menemui kereta tersebut.

Katanya, operasi menaikan kereta tersebut dilakukan menggunakan sebuah kren pada jam 3.49 petang.


“Pemeriksaan mendapati terdapat mangsa di dalam kereta dan telah berjaya dikeluarkan pada jam 4.04 petang.

“Mangsa bagaimanapun disahkan meninggal dunia selepas diperiksa pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mayat mangsa yang dikenali sebagai Andy Ting King Dieng,43 tahun kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

Difahamkan proses bedah siasat akan dilakukan ke atas mangsa di Hospital Sibu.

Turut sama dalam operasi mencari dan menyelamat mangsa ialah anggota Polis, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Lembaga Sungai-sungai Sarawak dan KKM.

Dilaporkan kejadian berlaku sekitar jam 12.40 lewat malam tadi.

Kejadian tersebut disedari oleh orang awam yang kemudian mendapatkan bantuan daripada hotel berdekatan.

Pasukan bomba dan polis hadir di lokasi kejadian untuk menjalankan operasi SAR sebaik sahaja selepas laporan diterima. — DayakDaily