Tidak serik mencuri biarpun dibebaskan dari pusat kuarantin Covid-19, empat lelaki ditahan

Salah seorang suspek ditahan untuk siasatan lanjut.

Oleh Brad Rantayy

MIRI, 11 Jun: Tidak serik mencuri dan melakukan jenayah harta benda, empat sahabat ditahan polis di sini sebaik sahaja keluar dari pusat kuarantin Covid-19.

Kesemua suspek lelaki, berusia antara 27 sehingga 34 tahun itu, ditahan dalam Ops Pintu pada Khamis (10 Jun) di beberapa lokasi di Kampung Lusut, Taman Tunku and Riam oleh sepasukan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah (JSJ) IPD Miri.


Dua daripada empat suspek menpunyai 10 rekod jenayah lampau termasuk terlibat dalam jenayah samun berkumpulan.

Difahamkan modus operandi kumpulan ini menyasarkan rumah-rumah dan kenderaan yang diparkirkan berhampiran kawasan kediaman.

Kali terakhir kesemua suspek melakukan pecah rumah dan mencuri beberapa barangan di dalam sebuah kenderaan yang diparkirkan dihadapan sebuah rumah Lorong Spring Jalan Riam ialah pada 7 Mei yang lalu.

Dua daripada empat suspek dibawa ke Balai Polis Pusat Miri bersama beberapa barangan dipercayai dicuri.

Menurut Ketua Polis Daerah Miri ACP Hakemal Hawari, kesemua suspek telah ditahan pada penghujung Mei yang lepas, namun kesemua suspek telah diarahkan untuk menjalani tempoh kuarantin sehingga 6 Jun baru-baru ini.

Namun, sebaik sahaja keluar dari tempoh kuarantin, suspek telah mula lagi melakukan aktiviti mencuri dan jenayah harta benda sehingga membawa penangkapan mereka semalam.

Dengan penahanan kesemua suspek ini, polis percaya dapat menyelesaikan sebanyak tujuh kes berkaitan kecurian dalam kenderaan. — DayakDaily