Suspek pecah rumah ditahan semasa Ops Pintu

Beberapa peralatan pecah rumah yang ditemukan semasa Ops Pintu daripada suspek.

Oleh Brad Rantayy

MIRI, 3 Jun: Anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) IPD Miri bersama unit kereta peronda polis (MPV) awal pagi tadi (Jumaat) telah menahan seorang lelaki warga asing semasa Ops Pintu perayaan Gawai, kerana dipercayai terlibat dalam beberapa kes pecah rumah sekitar bandaraya ini.

Menurut Ketua Polis Daerah Miri ACP Alexson Naga Chabu, semasa tangkapan, pihak polis turut menemukan beberapa peralatan pecah rumah daripada suspek.


Tangkapan dilakukan sekitar jam 3 pagi di belakanh sebuah premis di Morsjaya.

Suspek berusia 23 tahun itu kemudiannya telah dibawa ke lokap Balai Polis Pusat Miri untuk siasatan lanjut.

Suspek (tengah) dibawa ke lokap Balai Polis Pusat Miri untuk tindakan lanjut.

Siasatan awal mendapati, suspek tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri.

Kes disiasat mengikut Seksyen 35(G) Ordinan Kesalahan Kecil Sarawak 1958 (memiliki peralatan pecah rumah)dan Seksyen 6(1)(c) Akta Immigresen 1959/63. — DayakDaily