Tidak semua projek pembangunan kerajaan beri impak segera — Jamilah

Jamilah

KUCHING, 11 Nov: Setiap projek pembangunan kerajaan tidak semuanya akan memberikan impak serta merta seperti yang diharapkan oleh sesetengah pihak.

Sebaliknya, menurut Ahli Dewan Undangan Tanjung Datu, Datuk Amar Jamilah Anu, impak sesuatu projek itu adalah untuk jangka masa panjang dan lebih lestari.

“Setiap keperluan ditangani sebaik mungkin demi keselesaan dan kesejahteraan rakyat di negeri ini. Janganlah ada pula dalam kalangan rakyat masih tidak tahu atau sengaja tidak tahu tentang pembangunan yang dirancang dan dilaksanakan oleh kerajaan negeri Sarawak,” katanya ketika ucapan perbahasan Belanjawan Negeri Sarawak 2021 pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini.


Beliau berkata Belanjawan Negeri 2021 yang dibentangkan oleh Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg merupakan satu belanjawan yang komprehensif dan memberi fokus kepada keperluan rakyat selari dengan sasaran Sarawak negeri maju 2030.

Katanya, sejak 2017 hingga kini, sejumlah RM20.25 juta telah diperuntukkan bagi melaksanakan 93 projek impak rakyat di kawasan Tanjung Datu dengan 78 projek atau 84 peratus telah siap sepenuhnya.

Manakala selebihnya iaitu 15 projek atau 16 peratus masih dalam peringkat pelaksanaan dan dijangka siap dalam masa terdekat.

“Untuk projek RTP bagi tahun 2020, akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), maka sebahagian besar projek masih pada peringkat awal perlaksanaannya,” katanya.

Menurut Jamilah, pembinaan infrastruktur perhubungan yang mampan menghubungkan kawasan Lundu dan Sematan dengan dunia luar secara tidak langsung telah mewujudkan lonjakan ekonomi di kawasan terbabit.

Pembinaan Jambatan Batang Rambungan yang mengantikan perkhidmatan Feri Rambungan, katanya, akan memudahkan perjalanan kenderaan dari Lundu, Samatan, dan Telok Malano ke bandaraya Kuching.

“Ini secara tidak lansung akan meningkatkan lagi sektor pelancongan domestik di kawasan Lundu, Sematan dan Telok Melano.

“Justeru saya berharap daerah Lundu dan Sematan juga tidak ketinggalan untuk menerima inisiatif di bawah ‘Strategic Initiative No. 5: Boosting Tourism Sector’ yang mana peruntukan sebanyak RM252 juta telah diperuntukkan kepada Kementerian Pelancongan, Kesenian Dan Kebudayaan Sarawak,” katanya. — DayakDaily