Tiada penemuan mangsa di dalam perut buaya yang ditangkap

Buaya tersebut dibawa untuk dibedah siasat.

KUCHING, 26 Mei: Buaya yang termakan jerat semalam dipercayai bukan buaya yang menyerang Mohammad Adami Moktar, 7, pada 21 Mei lalu.

Ini kerana hasil postmortem yang dilakukan oleh Sarawak Forestry Corporation (SFC) ke atas buaya tersebut tidak menemui mangsa atau apa-apa yang berkaitan dengan mangsa di dalam perut buaya tersebut.

Susulan itu, Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba) Sarawak berkata operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa diteruskan hari ini yang memasuki hari ke-6.


“Pada jam 9.15 pagi, buaya tersebut dibawa ke Jambatan Nombor 3 Sungai Nyabut oleh SFC untuk post mortem.

“Pada jam 10 pagi, komander operasi melaporkan tiada penemuan mangsa setelah postmortem dilakukan oleh SFC dan telah disahkan oleh pihak polis,” Katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Operasi SAR turut disertai polis, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), SFC, Samarahan Crocodile Hunter dan penduduk kampung.

Mangsa dilaporkan disambar buaya ketika sedang mengambil air di tebing sungai tersebut bersama nenek dan dua orang kakaknya. — DayakDaily