Tiada kekacauan berlaku, hanya perhimpunan aman sahaja – Polis

Keadaan demonstrasi aman di sebuah kilang papan di Sungai Bidut.
Advertisement

SIBU, Feb 14: Polis menafikan terdapat kejadian rusuhan oleh kira-kira 700 pekerja warga Indonesia di sebuah kilang papan lapis milik di Sungai Bidut di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Sibu, ACP Stanley Jonathan Ringgit berkata, kejadian itu hanya demonstrasi secara aman agar syarikat kilang lapis tersebut menghentikan potongan levi sebanyak RM101 setiap bulan yang dikenakan ke atas mereka.

Katanya, kejadian berkenaan turut berlaku dipercayai kerana ketidakpuasan hati para pekerja mengenai waktu kerja yang dikurangkan oleh syarikat serta gaji yang diterima adalah kurang.

Advertisement
Keadaan demonstrasi aman di sebuah kilang papan di Sungai Bidut.

“Keadaan adalah terkawal dan tiada kekacauan secara melampau berlaku.

“Pasukan kita dari pelbagai bahagian telah ke sana dan syarikat telah bersetuju untuk berbincang dengan para pekerja,” katanya di sini semalam.

Stanley menambah, keadaan kembali pulih seperti biasa dan para pekerja terbabit telah bersurai untuk menyambung kerja mereka.

Kementerian Sumber Manusia pada Disember tahun lalu dalam satu kenyataan berkata, semua majikan mesti menanggung pembayaran levi pekerja asing baru dan pekerja asing yang telah memperbaharui Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) bermula awal Januari lalu.

Ketetapan dasar itu terpakai kepada majikan yang telah mendahulukan pembayaran levi pekerja asing sebelum ia dikuatkuasakan walaupun tempoh PLKS masih aktif dari tahun ini dan tamat tempoh pada 2018. — DayakDaily

Advertisement