Tiada alasan untuk pembangkang mohon tangguh PRN12, kata Karim

Karim (tiga dari kanan) menyampaikan sumbangan bantuan pakaian seragam kepada salah seorang penerima.

Oleh Chris Bishop

ASAJAYA, 13 Nov: Naib Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berpendapat pihak pembangkang tidak mempunyai alasan yang kukuh untuk memohon penangguhan Pilihanraya Negeri Ke12 (PRN).

Menurut beliau yang juga Menteri Belia dan Sukan, Proklamasi Darurat Sarawak yang sepatutnya berakhir pada 2 Februari 2022 telah pun ditarik balik.

Katanya, ia sekaligus menyebabkan pembubaran Dewan Undangan Negeri(DUN) pada 2 November lepas.

“Sepatutnya DUN sudah tamat tempoh pada 6 Jun lepas iaitu beberapa bulan yang lalu dan kita pada hari ini di dalam masa tambahan.

“Kerajaan mesti ada eksekutif dan legislatif di mana sekarang legislatif sudah tiada. Mandat dipegang oleh rakyat.

“Hendak ditangguh sampai bila lagi? Kalau sehingga Covid-19 lenyap, bolehkah seseorang memberi jaminan yang Covid-19 akan lenyap terus.

“Bagi saya wabak ini tidak akan lenyap, ia akan sentiasa ada dan kita hanya perlu mengawalnya sahaja,” katanya pada sidang media selesai Program Belia Kasih Komuniti di Dewan Kampung Tambirat hari ini.

Tambah Karim yang juga penyandang DUN Asajaya, Kementerian Kesihatan dan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) kini sudah dapat mengawal wabak Covid-19 dengan baik.

Katanya, majoriti kes positif harian yang direkodkan adalah melibatkan kategori 1 dan 2, iaitu demam biasa sahaja.

Justeru, Karim tidak menolak kemungkinan bahawa pihak pembangkang cuba untuk melengahkan PRN12.

“Saya melihat kemungkinannya begitu, mesti ada sebab. Di negeri-negeri lain pihak pembangkang selalunya minta untuk diadakan pilihanraya dengan segera.

“Saya rasa hanya dengan pilihanraya sahaja pihak pembangkang dapat menumbangkan kerajaan sedia ada.

“Hanya di Sarawak sahaja pembangkang tidak mahu diadakan pilihanraya, minta ditangguhkan,” ujar beliau yang juga Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan.

Sementara itu pada program tersebut, Karim telah menyampaikan bantuan pakaian seragam sekolah Yayasan Sarawak kepada 389 pelajar daripada 16 buah sekolah rendah dan 2 sekolah menengah di Asajaya.

Beliau juga turut menyampaikan sumbangan barangan keperluan makanan kepada 250 orang penerima daripada 23 buah kampung. — DayakDaily