Terapkan teknik pengajaran selari dengan teknologi terkini — KM

Abang Johari (barisan depan, lima dari kiri) merakamkan gambar bersama peserta Program Pemukiman Guru Pembina Negara Bangsa.
Advertisement

KUCHING, Mac 8: Pendekatan dan teknik pengajaran yang selari dengan teknologi masa kini perlu diterapkan dalam kalangan pelajar sekolah.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, bagi menghadapi cabaran membina anak Sarawak berminda kreatif, warga pendidik juga harus kreatif dan inovatif.

Jelas beliau, kerajaan negeri telah mengambil inisiatif menyediakan peruntukan sebanyak RM1 bilion bagi pembangunan infrastruktur siber digital.

Advertisement

“Langkah itu penting supaya tahap kelajuan Internet khususnya di kawasan luar bandar diperkasakan sekali gus memudahkan sistem pengajaran dan pembelajaran di sekolah,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa merasmikan Program Pemukiman Guru Pembina Negara Bangsa di Pusat Latihan Sarawak di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Abang Johari memberitahu, kumpulan warga pendidik juga perlu berani berubah untuk mengaplikasikan teknologi maklumat dalam sistem pengajaran dan pembelajaran.

Katanya, pendekatan dan teknik pengajaran yang menarik mampu membentuk minda kelas pertama dalam kalangan pelajar.

“Pada masa sama, para pelajar juga harus membudayakan sikap suka meneroka ilmu baharu selari dengan corak pembelajaran masa kini,” katanya lagi. — DayakDaily

Advertisement