This Content Is Only For Subscribers
KUCHING, 7 Sept: Hasrat seorang lelaki dan dua wanita warganegara Indonesia untuk masuk secara haram ke negeri ini tidak kesampaian apabila ditahan oleh anggota tentera darat.
Markas Divisyen Pertama Infantri Malaysia (1 Divisyen) berkata mereka ditahan kira-kira jam 1 petang tadi selepas dilihat mencurigakan.
Katanya, mereka menggunakan dua buah motosikal dan bergerak dari arah sempadan Indonesia ke Malaysia.
“Mereka ditahan ketika anggota membuat rondaan di sekitar sektor Lubok Antu iaitu 100 meter dari sempadan Malaysia – Indonesia.
”Hasil pemeriksaan mendapati seorang lalaki berusia 25 tahun dan dua wanita berusia 20 dan 21 tahun itu cuba memasuki negara ini melalui laluan yang tidak sah,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Tambahnya, pemeriksaan kemudian dijalankan ke atas barangan yang dibawa termasuk dua buah motosikal, telefon bimbit dan barangan peribadi yang dianggarkan berjumlah RM13,000.
“Bagaimanapun hasil pemeriksaan mendapati tiada barang terlarang dan berbahaya dijumpai,” katanya.
Kesemua pendatang asing tanpa izin (PATI) itu dibawa ke sempadan Pos Pemerhati Nanga Badau Tentera Nasional Indonesia-Angkatan Darat (TNI-AD) untuk dibuat pengusiran pulang ke Indonesia. — DayakDaily