PATI bawa wang RM27,839 pulang ke Indonesia ditangkap

Tekong darat dan PATI yang ditangkap dalam operasi tersebut.

KUCHING, 17 April: Hasrat lima pendatang asing tanpa izin (PATI) dari Indonesia pulang ke negara asal bersama wang tunai RM27,839 tidak kesampaian apabila ditangkap semalam.

Jurucakap Sel Perhubungan Raya Markas 1 Divisyen berkata kelima-lima PATI terbabit ditangkap bersama lima warga tempatan yang dipercayai tekong darat di sebuah kawasan ladang sawit iaitu kira-kira 735 meter dari sempadan Malaysia-Indonesia di Lundu.

Katanya, mereka mulanya ditahan menaiki lima buah motosikal selepas dilihat mencurigakan sekitar jam 1.45 petang.


“Hasil pemeriksaan mendapati lima lelaki warga tempatan berusia sekitar 28 hingga 41 tahun dipercayai bertindak sebagai tekong yang membawa lima lelaki PATI warga Indonesia berusia 17 hingga 38 tahun untuk pulang ke negara asal melalui jalan yang tidak sah.

“Mereka kemudian ditangkap dan anggota operasi turut merampas lima buah motosikal, 15 telefon bimbit dan wang tunai RM27,839 serta barang-barang kemas dengan nilai keseluruhan rampasan ialah RM61,141,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Tangkapan dan rampasan kemudian dihantar ke IPD Lundu untuk siasatan lanjut.

“Hasil ujian saringan turut mendapati salah seorang daripada PATI tersebut positif COVID-19,” katanya.

Tegasnya juga, Tentera Darat terus komited mengawal keselamatan dan memastikan kedaulatan Negara terus terpelihara terutama dalam memastikan tiada sebarang pencerobohan PATI mahupun sebarang bentuk jenayah rentas sempadan berlaku. — DayakDaily