Tentera darat yakin dapat mengawal aktiviti penyeludupan sekitar sempadan Sarawak

Toh ( kiri) menyaksikan Subiyanto memakaikan lencana pada bahu anggota tentera yang menyertai Eksais Kekar Malindo Siri 42AB/2018 yang dirasmikan di Kem Muara Tuang, di Kuching.

KOTA SAMARAHAN, Sept 11: Pasukan tentera darat dari 1 Divisyen Infantri Malaysia yang mengawal sempadan negeri ini bersama pasukan tentera darat Indonesia yakin dapat terus mengawal aktiviti penyeludupan sekitar sempadan terbabit dari bertambah berleluasa.

Panglima 1 Divisyen Infantri Malaysia, Mejar Jeneral Dato Toh Choon Siang berkata demikian berikutan pihaknya ketika ini mempunyai hubungan rapat dengan pasukan tentera darat Indonesia yang sama menjaga sempadan yang panjang terbabit.

“Penyeludupan berlaku dimana sahaja ada sempadan negara, tetapi dengan ikatan kerjasama erat TNI (Tentera Nasional Indonesia), kita (tentera darat dari pasukan 1 Divisyen) dapat mengawal aktiviti terbabit (di sempadan negeri ini) dan banyak kita lihat laporan tangkapan telah dibuat,” katanya selepas bersama Panglima Kodam 6/Mulawarman, Mayor Jeneral TNI Subiyanto merasmikan Majlis Pembukaan Eksais Kekar Malindo Siri 42AB/2018, di Kem Muara Tuang, di sini, hari ini.


Majlis terbabit juga dihadiri Panglima Brigade Ke-3 Infantri Malaysia, Brigedier Jeneral Mohd Bustaman Mat Zin, Komandan Briged Infantri 24 Bulungan Cakti, Kolonel Inf Jones Sasmita Muliawan, Konsul Jeneral Republik Indonesia di Kuching, Bapak Yonny Tri Prayitno dan Ketua Staff Markas 1 Divisyen, Kolonel Isa Daud.

Anggota tentera darat Malaysia dan Indonesia yang menyertai Eksais Kekar Malindo Siri 42AB/2018 yang dirasmikan di Kem Muara Tuang, di Kuching.

Toh berkata ketika ini pasukan tentera dari kedua-dua negara sudah mempunyai pos gabungan di kawasan sempadan negeri ini yang membolehkan kedua pasukan saling membantu mengurangkan lagi aktiviti penyeludupan sekitar kawasan terbabit yang biasanya melalui jalan tikus ataupun jalan gajah.

“Mungkin mustahil kami dapat mencegah sehingga 100 peratus (aktiviti penyeludupan di sempadan), tetapi kami akan berusaha mengurangkan aktiviti terbabit hingga ke satu tahap yang boleh diterima,”katanya.

Beliau berkata pihaknya juga akan memberikan tumpuan kepada membenteras penyeludupan barangan merbahaya seperti dadah dan sebagainya selain penyeludupan makanan biasa seperti gula dan beras.

Disamping itu, Toh juga mendedahkan Eksais Kekar Malindo Siri 42AB/2018 akan berlangsung sehingga Sept 22 membabitkan pasukan tentera darat dari Brigade Ketiga Infantri Malaysia dengan pasukan tentera darat Indonesia dari Brigade Infantri 24/Bulungan Cakti.

“Kami juga akan mengadakan latihan lapangan eksais ini di Tebedu, Mongkos dan Padawan. Keseluruhannya seramai 60 pegawai dan 697 anggota lain-lain pangkat dari kedua pasukan tentera menyertai eksais ini,” katanya dengan pasukan tentera darat dari Batalion Ke-10 Rejimen Renjer Diraja di Kem Muara Tuang menjadi tuan rumah eksais terbabit tahun ini. — DayakDaily