Teluk Pandan Kecik menjadi kemestian pengunjung ke Taman Negara Bako

Pemandangan dari atas tebingan batu di Teluk Pandan Kecik.

KUCHING, 6 Julai: Tebingan batu berbentuk kepala ular kini semakin popular dan menjadi tarikan orang ramai mengunjungi Taman Negara Bako setelah kembali dibuka Sarawak Forestry Corporation (SFC) 22 Jun lepas.

Tebingan batu kepala ular itu terletak di Teluk Pandan Kecik dan menjadi kemestian bagi orang ramai berkunjung taman negara terbabit untuk mengambil gambar mereka berlatar belakang batu itu.

Bagi ke Teluk Pandan Kecik, orang ramai perlu mengunakan perkhidmatan bot dari terminal jeti Kampung Bako sehingga ke ibupejabat Taman Negara Bako.


Mereka kemudian perlu berjalan kaki sejauh 1.5 kilometer atau lebih kurang satu setengah jam dari ibu pejabat itu dan dalam perjalanan ada titian kayu dan papan tanda bagi memudahkan mereka sampai ke teluk terbabit.

Pengunjung bergambar berhampiram tebingan baru berbentuk kepala ular di Taman Negara Bako.

Setelah sampai ke teluk terbabit yang merupakan kawasan pantai dikelilingi tebingan berbatu, orang ramai boleh mengunakan bot bagi bergambar berhampiran tebingan batu berkepala ular dan kembali ke terminal jeti kampung Bako.

Perkhidmatan bot ke taman itu disediakan Persatuan Bot Bako dengan waktu operasi mereka dari jam 7.30 pagi sehingga jam 4 petang.

Bayaran perkhidmatan bot terbabit sekitar RM30 seorang bagi seramai lima orang penumpang berulang alik dari terminal jeti Kampung Bako dan Ibupejabat Taman Negara Bako.

Manakala tambang berulang alik terbabit sekitar RM39 seorang sekira bot mengambil seramai lima penumpang itu dari Teluk Pandan Kecik dan dihantar balik ke terminal jeti Kampung Bako.

Selain itu bayaran kemasukan sebanyak RM10 juga dikenakan bagi warga tempatan yang mengunjungi taman negara terbabit.-DayakDaily

Harga perkhidmatan bot dan bayaran kemasukan ke Taman Negara Bako bagi enam orang.