Sejumlah 37,784 suri rumah dalam senarai e-Kasih disaran daftar i-Suri

Fatimah (tengah) pada sidang media di Kuching hari ini (6 Julai 2020). Turut kelihatan Halim (dua dari kanan).
Advertisement

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 6 Julai: Sejumlah 37,784 suri rumah yang layak di Sarawak disaran mendaftar di bawah Caruman Sukarela Insentif Suri (i-Suri).

Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata, ia untuk membolehkan mereka menikmati faeadah-faedah daripada program tersebut.

Advertisement

“Faedah-faedah yang boleh dinikmati mereka ialah insentif khas kerajaan pusat berjumlah RM480 yang dimasukkan ke dalam akaun i-Suri mereka.

“Kerajaan negeri secara prinsip setuju membantu membayar caruman RM60 untuk setiap individu, bantuan khairat kematian RM2,500 dan sekiranya berlaku kemalangan akan mendapat bantuan sebanyak RM5,000.

“Mereka juga layak menikmati manfaat lain yang dinikmati pencarum-pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP),” kata Fatimah.

Beliau berkata demikian pada sidang media pada kunjungan Ketua KWSP Negeri Halim Boweng ke pejabatnya di Bangunan Baitulmakmur, Petra Jaya hari ini.

Menurut Fatimah, setakat November 2019, sebanyak 42.85 peratus atau 25,813 daripada 66,120 suri rumah yang layak telah mendaftar di bawah i-Suri di Sarawak.

Katanya, cabaran selepas ini ialah untuk mewar-warkan program tersebut kepada ahli-ahli yang berdaftar dalam sistem pangkalan data kemiskinan nasional (e-Kasih).

“Kita ingin memastikan mereka yang berdaftar dalam e-Kasih tampil ke hadapan kemudian mendaftar dengan KWSP untuk i-Suri ini.

“Satu lagi ialah ada yang belum mendaftar dalam e-Kasih walhal mereka adalah golongan miskin dan kita hendak pastikan mereka mendaftar.

“Kita akan bergerak dengan pelbagai cara nanti yang melibatkan pegawai daerah dan ketua masyarakat untuk memastikan mereka mendaftar,” katanya.

Bagi mereka yang sudah mendaftar i-Suri, Fatimah berkata satu mekanisma akan digunapakai dimana pihak KWSP akan memaklumkan kepada kerajaan negeri untuk menyalurkan bantuan RM60.

i-Suri ialah singkatan kepada Insentif Suri dan merupakan caruman sukarela dengan insentif khas kerajaan untuk suri rumah, balu atau ibu tunggal yang berdaftar dalam e-Kasih. — DayakDaily

Advertisement