KUCHING, 11 Jan: Teater Mini Muzikal Arum Bulak akan mula dipersembahkan malam ini di Panggung Eksperimental, Fakulti Seni Gunaan Dan Kreatif Universiti Malaysia Sarawak (Unimas).
Arahan Tini Tyrani dengan skrip tulisan Zakaria Ali Hassan dari Pertubuhan Teater Sanggar Kreatif Kuching, teater dibarisi pelakon anak Sarawak seperti Azam Pitt, Elya, Lan Perey, Shahrul Iskandar, Saiful Bahri dan Wayne.
Menurut Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Datuk Snowdan Lawan, teater adalah sebuah persembahan yang menerima dana daripada Kementeriannya dibawah Dana Mudahcara Warisan.
Katanya, objektif pementasan adalah bagi mengaktifkan lagi aktiviti ahli dan pertubuhan setelah fasa endemik.
“Persembahan memberi ruang kepada masyarakat untuk datang memeriahkan seni persembahan teater, menyemarak, memasyarakatkan, membangunkan teater, sastera dan industri kreatif tanahair khususnya di Sarawak dan Malaysia amnya.
“(Ia juga dapat) meneruskan agenda pembangunan kesenian, kebudayaan dan kesusasteraan di Sarawak,” katanya pada sidang media di Kuching hari ini.
Pada 13 dan 14 Januari ini, Teater Mini Muzikal Arum Bulak akan dipentaskan di Balai Budaya, Dewan Bahasa dan Pustaka di Petra Jaya.
Pementasan ini melibatkan sekitar 50 orang termasuk pelakon, penari, pemuzik, tenaga produksi dan pengurusan yang dari berbagai latarbelakang. — Dayakdaily