Dua lelaki ditahan, polis Miri rampas dadah bernilai RM297,347

Alexson (dua dari kanan) bersama ketua polis narkotik bahagian Miri ASP Mingat Bakil (kiri) and pegawai lain menunjukkan dadah yang dirampas.

MIRI, 11 Jan: Dua lelaki warga tempatan ditahan bersama berbagai jenis dadah di dalam satu serbuan pada malam Isnin (9 Jan) di Miri.

Menurut Ketua Polis Daerah Miri, AC0 Alexson Naga Chabu, kedua-dua suspek berusia 26 dan 34 tahun itu ditahan anggota polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sarawak dalam serbuan dilakukan pada jam 11.30 malam di Bintang Commercial Centre.

“Semasa pemeriksaan lanjut, pihak polis menjumpai dadah jenis Ecstacy (2,632 gram), Ketamin (2,828.50 gram), Erimin 5 (146 gram) dan serbuk Ecstacy (1,795 gram) dengan jumlah keseluruhan nilai rampasan dadah ialah RM297,347.50,” ujarnya dalam satu sidang media hari ini.


Turut disita sebuah kenderaan Toyota Rogue, barang kemas dan sejumlah wang berjumlah RM162,620.00.

Kedua-dua suspek ditahan reman sehingga 17 Januari bagi membantu siasatan.

Kes ini disiasat dibawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Jika disabitkan kesalahan, pesalah boieh dihukum gantung sampai mati atau jika tidak dihukum mati, boieh dipenjara seumur hidup dan dikenakan sebatan tidak kurang 15 kali. — DayakDaily