Taska bagi anak-anak yang ibu bapa dalam perkhidmatan perlu dibenar beroperasi

Fatimah pada sidang media di Kuching.

KUCHING, 4 Mei: Kerajaan bersetuju membenarkan taska dibuka khusus untuk memberikan perkhidmatan kepada anak-anak yang ibu bapanya tergolong di dalam perkhidmatan perlu berkuatkuasa 4 Mei 2021.

Terdahulu taska di zon merah hanya dibenarkan beroperasi untuk memberikan perkhidmatan kepada anak-anak petugas barisan hadapan sahaja.

Menurut Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga Dan Pembangunan Kanak-Kanak(KWKPK) Dato Sri Fatimah Abdullah, keputusan dibuat setelah merujuk kepada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak(JPBNS).


“Bagi taska-taska lain, sekiranya terdapat keperluan untuk memberikan perkhidmatan kepada anak-anak yang ibu bapanya tergolong di dalam perkhidmatan perlu, pengusaha perlu memohon kelulusan untuk beroperasi terlebih dahulu daripada Bahagian Pembangunan Awal Kanak-kanak KWPKK.

“Taska hanya boleh beroperasi setelah mendapat kelulusan daripada pihak Kementerian.

“Ini adalah salah satu usaha Kerajaan Sarawak untuk memberikan khidmat sokongan kepada ibu bapa yang perlu memberikan perkhidmatan kepada rakyat,’katanya pada satu sidang media di Kuching hari ini.

Namun demikian tambah Fatimah, taska yang telah diluluskan untuk beroperasi perlu memastikan prosedur operasi standard (SOP) yang telah dikeluarkan oleh Kementerian dilaksanakan dengan ketat.

Katanya, SOP harus dipatuhi sepenuhnya oleh pengusaha, pendidik atau pengasuh serta ibu bapa demi mengekang penularan wabak Covid-19.

“Sekiranya terdapat anak atau ahli keluarga yang tidak sihat, maka anak tersebut tidak dibenarkan untuk hadir ke taska, dan ibu bapa perlu memaklumkan kepada pihak taska mengenai perkara ini,” ujar Fatimah.

Dalam pada itu, Fatimah berkata setakat 30 April 2021, sebanyak 78 permohonan telah diterima daripada pengusaha taska.

Daripada jumlah itu katanya, 65 buah taska telah diluluskan dengan melibatkan 187 orang anak-anak petugas barisan hadapan.

Manakala 12 taska tidak diluluskan kerana tidak mempunyai anak-anak petugas barisan hadapan dan sebuah taska tidak diluluskan kerana belum berdaftar.

Pada 19 April 2021, dalam sidang media Penguatkuasaan SOP Covid-19, Ketua Menteri telah mengumumkan bahawa semua sekolah dalam zon merah di Sarawak ditutup selama 14 hari berkuatkuasa pada 20 April 2021.

Susulan pengumuman ini semua taska dan tadika juga ditutup dan arahan penutupan ini kemudiannya dilanjutkan sehingga 10 Mei 2021.

Penutupan tadika dan taska dalam zon merah melibatkan 2,518 buah tadika dan 213 buah taska.

Setakat 30 April 2021, terdapat sejumlah 2,795 buah tadika dan 234 taska yang berdaftar di negeri Sarawak. — DayakDaily