Tarikh 22 Julai Hari Kemerdekaan Sarawak, bukan Hari Sarawak – S4S

Soo (dua dari kanan) bersama tiga aktivis S4S yang lain menunjukkan laporan polis masing-masing di IPD Kuching.

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 24 Julai: Tindakan kerajaan negeri menggunakan ungkapan ‘Hari Sarawak’ pada poster sambutan 22 Julai tahun ini dipersoalkan Gerakan Sarawak for Sarawakians (S4S).

Menurut aktivis S4S Lina Soo, tarikh 22 Julai telah diwartakan sebagai Hari Kemerdekaan Sarawak di bawah Ordinan Cuti Am Sarawak pada 20 Mei, 2016.

“Ia adalah usaha ketua menteri pada ketika itu, Pehin Sri Adenan Satem.

“Tarikh 22 Julai setiap tahun mulai tahun 2016 telah diwartakan sebagai cuti umum di Sarawak dan dikenali sebagai Hari Kemerdekaan Sarawak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui setelah membuat laporan polis berhubung perkara tersebut di Ibupejabat Polis Daerah Kuching di sini, hari ini.

Soo bersama tiga aktivis S4S yang lain telah membuat laporan masing-masing yang merujuk kepada penggunaan ungkapan ‘Hari Sarawak ‘ di dalam poster yang dilekatkan berhampiran patung kucing di Jalan Padungan untuk siasatan pihak polis.

Menurut beliau lagi, Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) telah mengubah ketetapan tersebut dan ia sepatutnya tidak berlaku.

“Undang-undang menetapkan 22 Julai sebagai Hari Kemerdekaan Sarawak. Kenapa kerajaan negeri menukarkannya kepada Hari Sarawak. Almanac Sarawak 2021 turut menggunakan ‘Hari Sarawak’.

“S4S mahukan kerajaan negeri mengikut ketetapan undang-undang di mana tarikh tersebut harus dikenali sebagai Hari Kemerdekaan Sarawak.

“Kerajaan seakan telah mengubah legasi Adenan dan S4S membantah,” kata Soo. — DayakDaily