Tapak menyelam bangkai kapal di perairan Sarawak bakal menjadi tarikan pelancong

Musa (duduk lima kanan) bersama warga media pada program Ilek-Ilek anjuran Pelancongan Malaysia.

KUCHING, 20 Julai: Pelancongan Malaysia sudah mengenalpasti tapak menyelam bangkai kapal di perairan Sarawak yang sesuai bagi dipromosikan kepada pelancong asing untuk Tahun Melawat Malaysia 2020.

Ketua pengarahnya, Datuk Musa Yusof menafikan anggapan yang Sarawak tidak mempunyai tapak menyelam menarik yang boleh dipromosikan kepada pelancong asing seperti negeri lain.

“Pada saya dah ada (tapak menyelam bagi menarik pelancong di Sarawak), tapi bukan macam Sipadan (di Sabah), bukan macam Pulau Tioman dan sebagainya.


“Tapak menyelam di sini lebih kepada (melihat) bangkai kapal,” katanya pada sidang media selepas menghadiri program Ilek-Ilek anjuran Pelancongan Malaysia di sini, hari ini.

Musa memberi penjelasan mengenai Tahun Melawat Malaysia 2020 kepada warga media.

Musa berkata beliau sendiri terlibat secara langsung membangunkan pakej menyelam di tapak terbabit di perairan Miri dan mengakui kini hanya perlu mempergiatkan promosinya kepada pelancong asing.

“Ini (pelancong yang suka menyelam) juga pasaran yang unik, walaupun jumlah ketibaan pelancong itu sedikit tetapi mereka berbelanja dengan banyak,” katanya.

Manakala pada Tahun Melawat Malaysia 2020, pihaknya mensasarkan ketibaan seramai 30 juta pelancong asing di seluruh negara dan pelancong terbabit disasarkan akan berbelanja di negara ini sebanyak RM100 bilion.

Dalam ucapannya di program terbabit, Mohd berkata pihaknya juga akan cuba menarik lebih ramai pelancong Singapura ke negeri ini kerana pelancong dari negara terbabit gemar ke Sarawak, samada bagi memancing di laut dalam ataupun menyelam.

Selain itu beliau mendedahkan dari Januari hingga Mei tahun ini, seramai 10,954,014 orang pelancong antarabangsa tiba di negara ini, yang meningkat 4.8 peratus berbanding 10,545,447 orang pelancong terbabit dalam tempoh yang sama tahun lepas. — DayakDaily