Tapak Megah dan Long Busang dalam Daerah Bukit Mabong, PKR mohon penjelasan

Abun Sui Anyit

KUCHING, 10 Julai: Parti Keadilan Rakyat (PKR) Hulu Rajang membantah sekeras-kerasnya kemasukkan Tapak Megah dan kawasan Long Busang ke dalam Daerah Bukit Mabong.

Ketua Cabang Abun Sui Anyit menggesa kedua-dua kawasan itu dikembalikan semula ke dalam Daerah Belaga dengan serta merta.

“Sejak bilakah kawasan dalam Daerah Belaga seperti Tapak Megah dalam kawasan Long Busang dimasukkan ke dalam Daerah Bukit Mabong, tanpa pengetahuan rakyat Belaga.


“Adakah wakil rakyat Belaga dan Murum telah membenarkan wilayah di Ulu Balui Daerah Belaga ini diserahkan dan dimasukkan ke dalam Daerah Bukit Mabong?,” kata Abun dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah beliau, jika ia benar berlaku, adakah Kerajaan Sarawak tidak perlu mendapat pandangan rakyat Belaga.

Menerusi kenyataan itu, Abun yakin rakyat Belaga tidak pernah ditanya berhubung perkara tersebut.

Beliau memohon Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Dr James Jemut Masing, yang juga Adun Baleh, untuk memberi penjelasan.

Perkara tersebut mendapat perhatian Abun setelah satu surat rasmi bertarikh 1 Julai, 2021 yang dikeluarkan oleh Pejabat Residen Bahagian Kapit berkenaan satu Majlis di Tapak Megah, Bukit Mabong (sepatutnya Belaga), Bahagian Kapit.

Surat ini katanya telah tular di media sosial. — DayakDaily