Tangani segera isu permasalahan PdPR

Edward Awan

KUCHING, 29 Jan: Permasalahan yang dihadapi pelajar dan guru melibatkan kaedah pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) khususnya di kawasan luar bandar perlu ditangani segera bagi mengelakkan pelajar di kawasan tersebut daripada ketinggalan dalam pelajaran mereka.

Timbalan Presiden Persatuan Pemikir Dayak Sarawak (DTTAS) Edward Awan berkata, kebanyakkan pelajar terutama di kawasan pedalaman tidak dapat mengikuti PdPR dengan sempurna disebabkan capaian internet yang lemah dan tidak memuaskan, selain masalah sekolah daif serta kekurangan prasana pendidikan.

Isu PdPR telah mencetuskan satu fenomena nasional hampir seminggu lalu dan ia melibatkan kelompok B40 dan M40 yang terjejas akibat pandemik Covid-19.


Isu ini timbul disebabkan masalah domestik di Sarawak dengan akses internet yang lemah dan tidak dapat dicapai sepenuhnya serta kekurangan peranti teknologi untuk pelajar dan guru sehingga membebankan ibu bapa sekaligus memberi masalah kepada kaedah PdPR pembelajaran dalam talian sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, bagi mengatasi masalah tersebut kerajaan negeri dan persekutuan  perlu segera memperbaiki kelemahan liputan dan akses jalur lebar di kawasan luar bandar bagi membolehkan proses pengajaran dan pembelajaran di secara dalam talian di rumah dapat dilakukan dengan lancar.

Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) ujarnya perlu menyegerakan pembinaan menara telekomunikasi termasuk melipatgandakan Pelan Gentian Optik dan Kesalinghubungan Negara (NFCP), memobilisasikan logistik serta kenderaan pembekalan internet ke kawasan capaian internet yang sukar diperolehi.

“KPM sepatutnya telah bersedia lebih awal dalam mengendalikan krisis komunikasi pendidikan bagi pandemik Covid-19 di negara ini.

“Agak sukar untuk menggambarkan cabaran dan kepayahan yang terpaksa ditempuhi saban hari, sebaliknya warga pendidik yang bertugas di sekolah pedalaman terus optimis dan komited merealisasikan misi mendidik anak bangsa tempatan agar menjadi insan berjaya,” katanya.

Edward berkata, walaupun keadaan serta kemudahan di sekolah pedalaman jauh ketinggalan namun gurunya tetap bersemangat untuk memikul tanggungjawab dan pelajar juga menunjukkan  keinginan belajar yang tinggi.

Oleh yang demikian, tegas beliau, satu usaha dengan melipatgandakan penggunaan teknologi dan merapatkan jurang digital antara segenap lapisan masyarakat perlu dilakukan dengan segera.

Katnaya, perkara itu jika diabaikan berupaya memberi kesan jangka panjang termasuk meluaskan jurang ketidaksamaan antara pelajar bandar dengan luar bandar dan menyebabkan lebih ramai lagi yang tercicir dalam pelajaran mereka.

“Kita ingin memberikan pendidikan terbaik, pada yang kaya mahupun yang miskin, tanpa mengira di daerah dan kota mana sekalipun. Inilah strategi kita dalam menterjemahkan ‘inclusive development,” katanya.

DTTAS  dalam pada itu,  jelas Edward  turut menyeru ibu bapa untuk  sentiasa mengutamakan pendidikkan anak-anak mereka serta memberi kerjasama yang terbaik kepada guru dalam membantu kaedah PdPR  agar ia dapat berjalan dengan lancar.

Ketika ini sesi persekolahan bersemuka  yang bermula 20 Januari lepas hanya melibatkan pelajar menduduki peperiksaan penting bagi tahun 2020  seperti Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM), Sijil Tinggi Agama Malaysia dan sebagainya. — DayakDaily