This Content Is Only For Subscribers
KUCHING, 25 Sept: Bekas Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Jeneral (B) Tan Sri Dato’ Affendi Buang sedia memberi perkhidmatan kepada kerajaan Sarawak jika diperlukan.
Menurut laporan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), perkara itu antara yang disampaikan Affendi kepada Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Dr Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg dalam satu kunjungan hormat di Wisma Bapa Malaysia di sini, hari ini.
Katanya, pengalaman beliau selama 43 tahun berkhidmat dalam ATM boleh membantu negeri kelahirannya dari segi aspek keselamatan dan ketenteraan.
“Antara perkara yang disampaikan kepada Premier Sarawak ialah jika Sarawak memerlukan pertolongan atau bantuan dan khidmat nasihat, saya sanggup memberi perkhidmatan saya,” ujar beliau.
Kunjungan hormat itu bersempena persaraan beliau yang telah menyerahkan tugas pada 6 September lepas kepada Panglima Tentera Darat Jeneral Tan Sri Mohammad Ab Rahman.
Beliau yang juga anak kelahiran Kuching dilantik sebagai Panglima Angkatan Tentera ke-21 pada 2 Januari 2020, selepas mengambil alih daripada Jeneral Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin dan akan bercuti sempena persaraannya sebelum menamatkan perkhidmatan pada Februari 2024. — DayakDaily